LONDON: Villarreal akan berdepan Manchester United pada pentas akhir Liga Europa selepas kelab dari Sepanyol itu bertahan untuk seri 0-0 di Arsenal sebentar tadi seterusnya menghalang semua wakil Liga Perdana ke final saingan Eropah.
Dua cubaan Pierre-Emerick Aubameyang terkena palang buat Arsenal, namun kekalahan 2-1 secara agregat bermakna Gunners akan terlepas aksi Liga Juara-Juara buat kali kelima berturut-turut.
Berkedudukan kesembilan Liga Perdana, musim Arsenal bergantung kepada kejayaan dalam Liga Europa untuk layak ke Liga Juara-Juara.
Namun bekas bos Gunners, Unai Emery berjaya membalas dendam selepas dipecat hanya selepas 18 bulan selaku pengganti Arsene Wenger dengan memimpin Villarreal ke final saingan Eropah pertama mereka.
Emery menang kejohanan ini sebanyak tiga kali bersama Sevilla dan juga membawa Arsenal final Liga Europa dalam musim sulungnya di Emirates.
Pengendali dari Sepanyol itu dikritik kerana pendekatan berhati-hati selepas mendahului 2-0 pada babak pertama saingan separuh akhir pertama yang membolehkan Arsenal kembali merapatkan jaringan menerusi penalti Nicolas Pepe.
Bagaimanapun skuad Yellow Submarine tidak bergantung kepada kelebihan awal mereka apabila mengawal babak pertama tanpa menjaringkan gol penting di tempat lawan.
Arsenal hampir membuka jaringan sebelum rehat apabila cubaan Aubameyang sedikit tersasar.
Tuan rumah memulakan babak kedua dengan lebih baik namun mensia-siakan dua peluang terbaik untuk mara menerusi gol di tempat lawan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




