Emma menyinar hari pertama

Emma menyinar hari pertama

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain boling padang wanita negara, Emma Firyana Saroji mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatat dua kemenangan daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan acara perseorangan wanita pada hari pertama Piala Dunia 2025 di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, hari ini.

Emma Firyana membuka kempen dengan penuh bergaya apabila menundukkan wakil New Zealand, Katelyn Inch 2-1 sebelum tewas tipis 1-2 kepada pemain England, Katherine Rednall dalam aksi kedua.

Pada aksi sebelah petang dia kembali ke landasan kemenangan selepas menang 2-0 ke atas pemain Scotland, Caroline Brown.

“Alhamdulillah, saya dapat kawal permainan dengan baik hari ini. Strategi utama saya adalah untuk pastikan bola pertama dekat dengan jack. Satu bola pun cukup kalau kena tepat, sebab dari situ kita boleh kawal rentak permainan,” kata Emma Firyana yang juga pemenang gangsa Kejohanan Dalam Dewan Dunia.

Menurutnya, kemenangan ke atas Caroline menjadi titik kebangkitan selepas kekalahan dalam aksi kedua.

“Masa set kedua lawan Caroline, rezeki lebih memihak pada saya. Apa yang dia buat, saya dapat balas balik. Dari situ momentum berubah dan saya boleh menang straight set,” ujarnya.

Secara keseluruhan, Emma Firyana mengakhiri hari pertama dengan dua kemenangan dan satu kekalahan, kedudukan yang masih membuka peluang besar untuk ke suku akhir.

“Belum lagi (sah ke suku akhir), sebab ada dua lagi perlawanan esok menentang Afrika Selatan dan Ireland. Kena menang dua-dua kalau nak pastikan tempat di kelompok dua teratas kumpulan,” jelasnya.

Mengulas mengenai keadaan padang, Emma Firyana mengakui faktor permukaan dan suasana antara gelanggang dalam dan luar memberi cabaran tersendiri.

“Main dalam dewan lebih senang dikawal sebab permukaan lebih sekata. Kalau di luar, bola banyak ‘sukar’, tak lancar dan perlu cepat menyesuaikan dengan garisan serta kelajuan. Tapi sebab kita dah biasa berlatih di Malaysia, saya boleh sesuaikan diri,” katanya.

Bagi pemain berusia 39 tahun itu prestasi cemerlang dalam acara perseorangan juga akan menjadi pemangkin untuk aksi beregu bersama Nurul Alyani Jamil selepas ini.

“Kalau momentum dari single ini baik, ia akan terus bawa semangat ke acara pair nanti. Kami dua-dua memang cari rentak dari awal, insya-Allah boleh teruskan.”

Nurul Alyani turut mencatat kemenangan 2-0 ketika berdepan seorang lagi wakil New Zealand, Selina Goddard.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top