MENJELANG Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bakal berlangsung tidak lama lagi, pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid menegaskan bahawa setiap calon yang berhasrat merebut jawatan tertinggi perlu tampil dengan pendekatan yang lebih berwibawa serta berorientasikan masa depan.
Beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC berkata, pemilihan kepimpinan baharu badan induk itu seharusnya tidak bersandarkan kepada retorik semata-mata, sebaliknya berteraskan kepada pelan tindakan yang menyeluruh dan konstruktif.
Menurutnya, terdapat empat elemen utama yang perlu diberikan perhatian serius oleh para perwakilan dalam menentukan hala tuju baharu bola sepak negara.
“Antara keutamaan yang perlu diketengahkan ialah pengukuhan sumber kewangan. Calon perlu memperincikan strategi untuk menarik penaja, pelabur serta membina ekosistem ekonomi bola sepak yang stabil agar tidak terlalu bergantung kepada sumber terhad.
“Di samping itu, pembangunan akar umbi perlu diberi nafas baharu melalui sistem liga remaja yang kompetitif, program pencarian bakat yang tersusun serta kerjasama erat dengan institusi pendidikan. Tanpa asas yang kukuh, masa depan bola sepak negara akan terus berdepan ketidaktentuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Muzakkir turut menyentuh mengenai aspek kejurulatihan dan kepakaran teknikal yang tidak boleh dipandang ringan. Tegas beliau, pelaburan dalam pendidikan jurulatih, penggunaan teknologi serta pendekatan sains sukan perlu menjadi agenda utama bagi meningkatkan kualiti permainan secara menyeluruh.
Elemen keempat yang ditekankan beliau adalah pemerkasaan tadbir urus yang baik, ketelusan serta integriti dalam pentadbiran FAM. Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar usaha ini digerakkan secara sistematik dan berlandaskan proses, bukan sekadar pendekatan populis.
Dalam pada itu, Ahmad Muzakkir turut mengulas mengenai trend calon yang menawarkan diri dengan janji untuk menyiasat isu-isu lampau, termasuk kes pemalsuan dokumen melibatkan pemain tidak sah.
Walaupun menyambut baik ketegasan dalam soal integriti, beliau berpendapat manifesto yang terlalu tertumpu kepada mencari kesalahan lampau tidak seharusnya menjadi teras utama kepimpinan tertinggi.
“Walaupun ketegasan soal integriti wajar dihargai, pendekatan yang terlalu tertumpu kepada mencari kesalahan lampau dilihat tidak seharusnya menjadi teras utama manifesto. Sebaliknya, calon perlu mengemukakan pelan tindakan yang lebih menyeluruh, merangkumi misi serta visi jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Kenyataan yang cenderung membandingkan kepimpinan baharu dengan ‘muka lama’ atau mengaitkan kegagalan lampau secara umum juga tidak membantu dalam membina keyakinan jangka panjang. Apa yang lebih penting adalah keupayaan calon menawarkan penyelesaian, bukan sekadar menimbulkan persepsi,” tambahnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata bola sepak Malaysia ketika ini memerlukan kepimpinan yang mampu menyatukan semua pihak, bukan memecah-belahkan, dengan fokus diberikan kepada pembinaan semula struktur yang kukuh serta peningkatan daya saing di peringkat antarabangsa.
“Akhirnya, masa depan bola sepak negara tidak akan berubah hanya dengan janji untuk menghukum, tetapi melalui perancangan rapi, pelaksanaan berkesan dan komitmen jangka panjang. Di situlah ukuran sebenar keupayaan seorang pemimpin,” katanya.



