Empat lelaki warga indonesia didakwa seludup 104 migran asing

LUMUT: Empat lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Manjung di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 104 migran asing, termasuk 102 warga Indonesia dan dua warga Vietnam, bulan lalu.

Adi Warman, 36, yang didakwa sebagai tekong bot bersama dua pembantunya, Gading, 31, dan Rafiernanda, 19, serta Yunus Saputra, 30, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Adi Warman, Gading dan Rafiernanda didakwa menyeludup 39 lelaki dan 25 wanita migran warga Indonesia di perairan Pulau Talang pada kedudukan 04°25.429′ Utara dan 100°34.126′ Timur kira-kira 0.3 batu nautika dari Pulau Talang, Manjung, kira-kira pukul 4.30 pagi, 18 Ogos 2026.

Bagi Yunus pula, dia didakwa menyeludup 40 migran asing terdiri daripada 38 warga Indonesia dan dua warga Vietnam di tepi Pantai Hutan Kuari Sungai Batu, Manjung, pada kedudukan 4°25’18.9” Utara dan 100°36’13.8” Timur pada pukul 8 pagi, 18 Ogos 2026.

Daripada jumlah tersebut, migran berkenaan terdiri daripada 28 lelaki dan 12 wanita.

Pertuduhan terhadap dua kes berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam dan memohon tarikh baharu untuk sebutan semula kes.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Oktober depan. – UTUSAN

Scroll to Top