Empat pasukan berentap di separuh akhir SSR Challenge Trophy

Empat pasukan berentap di separuh akhir SSR Challenge Trophy

Kuala Lumpur: Edisi sulung SSR Challenge Trophy kini memasuki fasa penting apabila empat pasukan hanya selangkah lagi ke perlawanan akhir selepas tamat saingan peringkat kumpulan di EV Arena Elmina, Shah Alam.

Diperkenalkan sebagai divisyen kedua dalam struktur Super Schools Rugby (SSR), kejohanan yang membabitkan 12 pasukan itu bukan sahaja menawarkan kejuaraan, malah turut menyediakan laluan ke SSR Playoffs serta peluang kenaikan ke divisyen SSR Premier.

SMS Machang dari Kelantan mara ke separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan E hasil kemenangan ke atas SMS Tuanku Jaafar dan Sekolah Tinggi Bukit Mertajam.

Mereka akan menentang MRSM Alor Gajah, yang menjuarai Kumpulan G selepas mencatat kemenangan ke atas SMS Teluk Intan dan SMS Johor, dalam satu pertembungan yang dijangka sengit.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, SMK King George V akan bertemu SMS Muzaffar Syah. SMK King George V menamatkan saingan di tempat teratas Kumpulan F selepas menewaskan SMS Sultan Mohamad Jiwa dari Kedah dan SMK Sultan Yahya Petra (1), Kelantan.

Sementara itu, SMS Muzaffar Syah mara sebagai juara Kumpulan H selepas mengatasi SMS Sultan Mahmud dari Terengganu dan St John’s Institution, sekali gus meneruskan kempen sulung yang memberangsangkan.

Kedua-dua perlawanan separuh akhir dijadualkan berlangsung pada 3 Mei di EV Arena Elmina, dengan pemenang akan mara ke perlawanan akhir pada 9 Mei di venue yang sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top