Empat tahun Perang Rusia-Ukraine

Empat tahun Perang Rusia-Ukraine

RUSIA melancarkan kempen pencerobohan berskala besar ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022 yang mencetuskan perang paling dahsyat di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Konflik antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet tersebut telah berlarutan selama empat tahun dan rundingan damai yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) masih gagal mencapai sebarang kesepakatan hingga kini.

1. Kemusnahan besar

Peperangan berpanjangan itu telah menyebabkan kehancuran meluas di Ukraine.

Seluruh bandar di timur dan selatan seperti Bakhmut, Toretsk dan Vovchansk dilaporkan musnah teruk.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa lebih 2,800 serangan telah menyasarkan kemudahan penjagaan kesihatan sejak 2022.

Selain itu, kempen pengeboman yang dilancarkan oleh Moscow terhadap infrastruktur tenaga turut mengakibatkan bekalan elektrik kepada jutaan penduduk terputus sepanjang tempoh berkenaan.

Kira-kira satu perlima kawasan di Ukraine diancam periuk api atau bahan letupan tidak meletup.

Pada Isnin, Bank Dunia memaklumkan kos pembinaan semula Kiev dianggarkan mencecah kira-kira AS$588 bilion (RM2.3 trilion) untuk tempoh dekad akan datang.

Trump (tengah) selaku perantara proses damai itu gagal menamatkan konflik antara Putin dan Zelenskyy.

Trump (tengah) selaku perantara proses damai itu gagal menamatkan konflik antara Putin dan Zelenskyy.

2. Orang awam jadi korban

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan lebih 15,000 kematian orang awam di Ukraine meskipun jumlah korban sebenar dipercayai jauh lebih tinggi berikutan badan tersebut tidak mendapat akses ke kawasan yang dikuasai tentera Rusia seperti pelabuhan Mariupol.

Serangan balas dilancarkan Kiev turut meragut ratusan nyawa. Kira-kira 20,000 kanak-kanak juga didakwa telah dipaksa berpindah atau diculik.

Selain itu, kira-kira 5.9 juta pelarian Ukraine terpaksa melarikan diri ke luar negara manakala 3.7 juta menjadi pelarian di dalam negara sendiri.

Jumlah kematian askar masing-masing juga tidak didedahkan kepada umum dan angka itu sering berubah-ubah.

Pada awal bulan lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mendakwa sekurang-kurangnya 55,000 anggota tentera mereka terkorban manakala Kremlin tidak memberi maklumat terkini tentang askar mereka yang gugur di medan perang.

BBC dan laman bebas Mediazona melaporkan sekurang-kurangnya 177,000 askar Rusia terbunuh berdasarkan maklumat pemberitahuan kematian dan pendedahan waris keluarga mereka.

Sementara itu, badan pemikir, Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) menganggarkan Moscow kehilangan sehingga 325,000 anggota tentera manakala askar Ukraine yang terkorban dianggarkan antara 100,000 hingga 140,000 orang.

3. Rundingan temui jalan buntu

Hingga pertengahan Februari, Moscow telah menguasai kira-kira 19.5 peratus kawasan di Ukraine setelah ia menawan kira-kira tujuh peratus bahagian di Semenanjung Crimea dan wilayah timur Donbas sebelum perang itu meletus.

Kemaraan tentera Rusia pada tahun lalu merupakan yang terbesar sejak 2022 walaupun operasi ketenteraannya semakin perlahan berbanding pada fasa awal konflik tersebut.

Kremlin merancang untuk merampas kawalan ke atas wilayah timur Donetsk selepas ia mengecam sokongan ketenteraan diberikan Barat.

Sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025, beberapa pusingan rundingan telah diadakan di Istanbul, Abu Dhabi dan Geneva. Tetapi, tiada kesepakatan dicapai setelah Rusia dikatakan berulang kali mengelak untuk berdamai.

Tugu peringatan sementara untuk askar Ukraine yang terkorban didirikan di Dataran Kemerdekaan di Kiev.

Tugu peringatan sementara untuk askar Ukraine yang terkorban didirikan di Dataran Kemerdekaan di Kiev.

4. Beri impak kepada ekonomi, landskap politik dan sosial

Peperangan selama empat tahun itu telah memberi impak besar kepada ekonomi Kiev dan menimbulkan tekanan besar kepada Moscow.

Ekonomi Rusia menjadi perlahan dan hanya mencatatkan pengembangan sebanyak satu peratus pada tahun lalu susulan bajet pertahanan yang mencecah hingga sembilan peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hasil minyak dan gas yang menyumbang kira-kira satu perempat daripada pendapatan belanjawan negara merosot ke paras terendah dalam tempoh lima tahun lalu susulan gelombang sekatan Barat serta serangan Ukraine ke atas kemudahan minyak yang menjejaskan hasil eksport.

Ekonomi Ukraine pula menguncup hampir satu pertiga pada tahun pertama selepas pencerobohan Rusia walaupun sebahagian daripada kemerosotan itu berjaya dipulihkan pemerintah kini dengan bergantung kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan pemberi pinjaman asing lain untuk menampung perbelanjaan harian.

Perang tersebut juga telah memberi kesan mendalam terhadap landskap politik dan sosial di kedua-dua negara.

Ukraine terpaksa menunda pilihan raya susulan pelaksanaan undang-undang darurat tentera dan kebelakangan ini turut digemparkan dengan skandal rasuah dalam sektor tenaga yang terjejas akibat perang.

Di Rusia pula, pihak berkuasa melaksanakan tindakan tegas terhadap pengkritik Kremlin pada tahap yang belum pernah berlaku sejak era Kesatuan Soviet.

Pendakwa raya Rusia telah membuka lebih 10,000 kes terhadap individu yang dituduh mengkritik angkatan tenteranya.

Veteran yang pulang ke Rusia termasuk ramai bekas banduan yang direkrut untuk berperang pula dipersalahkan atas peningkatan kadar jenayah ganas.

Kawasan penempatan awam di Kiev turut menjadi sasaran serangan udara.

Kawasan penempatan awam di Kiev turut menjadi sasaran serangan udara.

5. Campur tangan asing

Ukraine sangat bergantung kepada senjata, maklumat risikan dan bantuan kewangan dari Barat.

Menurut data Institut Kiel di Jerman, Eropah telah menyalurkan bantuan berjumlah 201 bilion euro (RM9.6 trilion) sejak 2022.

Sejak fasa awal konflik itu, AS telah membekalkan bantuan keseluruhan sebanyak AS$115 bilion (RM447 bilion), namun Trump dilaporkan menggantung sebahagian penghantaran senjata dan mendesak Eropah menanggung lebih banyak kos tersebut.

Korea Utara didakwa menghantar ribuan anggota tentera untuk berjuang bersama tentera Rusia selain turut membekalkan jutaan peluru artileri kepada Moscow.

Iran pula membekalkan teknologi dron kepada Moscow manakala China menjadi rakan ekonomi pentingnya dan dituduh oleh Barat membantu Kremlin untuk mengelak sekatan.

 

 

Ringkasan AI

  • Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine yang mencetuskan perang terdahsyat sejak Perang Dunia Kedua
  • Konflik ini menyebabkan kehancuran meluas dan kemusnahan infrastruktur termasuk kemudahan kesihatan serta memutus bekalan elektrik
  • Lebih 15,000 kematian orang awam direkodkan dengan jutaan orang terpaksa mengungsi baik ke luar mahupun di dalam negara
  • Rundingan damai yang diusahakan Amerika Syarikat gagal mencapai sebarang kesepakatan dengan Rusia sering mengelak dari berdamai
  • Perang ini memberi impak besar kepada ekonomi kedua-dua negara, menimbulkan tekanan sosial dan politik, serta meningkatkan keterlibatan asing termasuk bantuan senjata dan kewangan dari Barat
Scroll to Top