Empati terhadap alam sekitar

Empati terhadap alam sekitar

amir_hamid@mediaprima.com.my

Dalam kesibukan mengejar pembangunan, kita sering lupa bahawa alam liar di sekeliling bukan sekadar latar belakang kehidupan, sebaliknya nadi yang menyokong kelangsungan hidup kita sendiri.

Hutan yang menghijau, sungai yang mengalir jernih serta kewujudan pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan adalah sistem sokongan semula jadi yang tidak ternilai harganya.

Namun, sikap segelintir manusia yang melihat alam liar sebagai penghalang kemajuan selain hanya rakus mahu mengaut keuntungan menyebabkan ia terus diteroka tanpa batas.

Hakikatnya, alam liar memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem. Setiap hidupan walaupun sekecil serangga, mempunyai fungsi tersendiri.

Jika satu komponen hilang, keseluruhan sistem boleh terjejas. Fenomena ini bukan lagi sekadar teori, malah sudah mula dirasai melalui perubahan cuaca ekstrem, banjir kilat dan peningkatan suhu global.

Lebih membimbangkan, generasi hari ini semakin terpisah daripada alam.

Kanak-kanak membesar tanpa mengenal bunyi cengkerik pada waktu malam, tanpa pernah menjejak kaki dalam hutan atau bermain di sungai. Mereka lebih akrab dengan skrin berbanding alam semula jadi.

Keadaan ini bukan sahaja merugikan daripada sudut pengalaman, tetapi juga membentuk generasi yang kurang empati terhadap alam sekitar.

Tanpa rasa menghargai, sukar untuk melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab menjaga warisan bumi.

Menghargai alam liar tidak semestinya memerlukan usaha besar. Ia boleh bermula dengan langkah kecil seperti tidak membuang sampah merata-rata, mengurangkan penggunaan plastik serta menghormati habitat haiwan liar.

Sikap ini, jika dipupuk sejak kecil, mampu memberi impak besar dalam jangka panjang.

Selain itu, pendedahan kepada alam semula jadi juga terbukti memberi manfaat kepada kesihatan mental manusia.

Sudah banyak kajian menunjukkan bahawa berada di kawasan hijau mampu mengurangkan tekanan, meningkatkan fokus dan memberi ketenangan emosi.

Ini membuktikan bahawa hubungan manusia dengan alam bukan sekadar fizikal, tetapi juga emosi.

Dalam konteks Malaysia, kita bertuah kerana masih memiliki khazanah alam yang kaya.

Namun, kelebihan ini tidak akan kekal jika tidak dipelihara dengan bijak. Pembangunan perlu seiring dengan pemuliharaan, bukan mengorbankan satu demi yang lain.

Masa depan alam liar sebenarnya terletak di tangan manusia sendiri. Jika kita terus mengabaikannya, bukan sahaja flora dan fauna yang akan hilang, tetapi manusia juga bakal menanggung akibatnya.

Sudah tiba masanya untuk kita melihat alam liar bukan sebagai sesuatu yang perlu ditakluki, tetapi sebagai rakan yang perlu dihargai dan dilindungi.

Ini kerana, akhirnya, menjaga alam bermakna menjaga kehidupan kita sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top