syafil.syazwan@hmetro.com.my
DUNIA lakonan sering kali menuntut pengorbanan dan kesediaan untuk keluar daripada zon selesa demi menghidupkan sesebuah watak.
Bagi pelakon, Amerul Affendi, filem terbaharu berjudul Libang Libu yang menemui penonton hari ini menjadi medan buatnya mencabar diri menguasai dialek Perak Tengah yang cukup pekat. Meskipun berasal dari Pahang, Amerul membuktikan jurang dialek bukan penghalang utama jika disertakan dengan kesungguhan dan bimbingan yang betul daripada mereka yang pakar.
Bercerita lanjut mengenai wataknya dalam filem arahan Bobby Hussein itu, Amerul menyifatkan wataknya sebagai Man Filem sebagai individu yang membawa ‘huru-hara’ sekembalinya ke pangkuan masyarakat setempat.
“Cerita ini berkisar mengenai sebuah kampung di Perak, di mana ada seorang penduduk kampung yang bekerjaya sebagai pengurus produksi filem.
“Dia pulang ke kampung untuk membuat penggambaran filem di situ, namun timbul masalah apabila produksi itu tidak memahami nilai budaya setempat.
“Dia pula berasal dari situ, tetapi mempunyai reputasi buruk sebelum berhijrah, jadi orang kampung serba salah untuk menerima dia kembali,” katanya.
Cabaran paling besar buat anak jati Pahang ini sudah tentu untuk membuang lenggok ‘Pahang’ dan menyerap ‘roh’ dialek Perak Tengah.
Amerul mengakui bahawa dialek Perak mempunyai keunikan tersendiri yang sangat teknikal jika mahu dipersembahkan secara asli di layar perak.
“Susah sebenarnya. Walaupun ada persamaan perkataan antara Pahang dan Perak, tetapi lenggoknya berbeza. Di kawasan hulu, orang bercakap laju, manakala di tengah seperti Kuala Kangsar, lebih perlahan,” katanya.
Bagi memastikan kualiti dialeknya tidak kedengaran sumbang, Amerul banyak bergantung kepada bimbingan pengarah.
Menurutnya, pemilihan lokasi di Lambor Kanan dan Lambor Kiri juga memberikan impak yang sangat besar kepada suasana di set penggambaran.
“Pengarah kami, Bobby Hussein berasal dari Lambor. Dia membuat filem ini untuk merakam memori di kampungnya termasuk menggunakan rumah pusaka neneknya yang dibaik pulih sebagai lokasi penggambaran utama.
“Dialek di Lambor ini lebih asli dan tulen, kadang-kadang sukar difahami kerana mereka bercakap sangat laju,” katanya.
Bekerjasama dengan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy yang memegang watak sebagai abangnya, Along Alid menambahkan lagi seri naskhah ini.
Amerul menyifatkan hubungan antara watak Man Filem dan abangnya sebagai sesuatu yang melucukan, namun penuh pengajaran.
“Bukan tidak baik hubungan itu, cuma abang dia penat sebab setiap kali dia membuat masalah, abang dia yang perlu ‘membersihkan’ keadaan.
“Kerjasama dengan pelakon lain juga sangat seronok kerana semua hadir tepat waktu dan bekerja secara profesional. Suasana di set sangat menyeronokkan,” katanya.
Menyentuh mengenai perbandingan yang mungkin timbul dengan karya ikonik Allahyarham Mamat Khalid, Amerul mempunyai pandangannya tersendiri.
“Dia melihat Libang Libu sebagai kesinambungan kepada tradisi komedi satira masyarakat yang pernah dipopularkan oleh Mamat, namun dengan sentuhan visual yang lebih kontemporari.
“Dari segi visual mungkin berbeza, tetapi isu yang dibawa masih sama iaitu komedi satira masyarakat. Penonton boleh merindui karya arwah Mamat Khalid dan pada masa sama menikmati visual yang lebih moden.
“Cerita ini juga menyentuh isu semasa seperti perjudian dalam talian yang kini mudah diakses di hujung jari,” katanya.
Bagi Amerul, genre komedi sebenarnya mempunyai tahap kesukaran yang setanding dengan naskhah serius kerana ia sangat bergantung kepada ‘timing’.
Jenaka yang tidak sampai atau lambat menyebabkan babak berkenaan menjadi hambar.
“Kedua-duanya ada cabaran. Komedi memerlukan ketepatan masa untuk menyampaikan jenaka, jika tidak, ia tidak menjadi.
“Walaupun pengarah memberi kebebasan, kami semua masih terkawal dan faham peranan masing-masing tanpa cuba menonjol secara berlebihan,” katanya.
Dalam mendepani cabaran ekonomi semasa yang mungkin menjejaskan kehadiran penonton ke pawagam, Amerul menaruh harapan supaya naskhah yang dekat dengan hati rakyat seperti ini mampu menarik minat orang ramai.
Selain Amerul dan Beto, Libang Libu turut dibarisi barisan pelakon hebat tanah air antaranya Nabila Huda, Ozlynn Waty, Sara Ali, Nadia Aqilah, Datuk Razak Ahmad, Sabri Yunus, Zahiril Adzim, Azhan Rani dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




