Enam individu direman kes dokumen laporan kesihatan palsu

Enam individu direman kes dokumen laporan kesihatan palsu

am@hmetro.com.my

Kangar: Enam individu termasuk tiga wanita direman antara tiga hingga tujuh hari sehingga 27 Januari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis atas dakwaan mengemukakan dokumen laporan kesihatan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ia bagi tujuan permohonan pencen ilat bulanan berjumlah RM255,000 sekitar dua tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia antara 50 hingga 60 tahun termasuk seorang lelaki yang bertindak sebagai ejen yang menguruskan permohonan berkenaan dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Mohd Amiruldin Roslan selepas kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar sekitar jam 9.45 pagi hari ini.

Menurut sumber SPRM, pada 2024 lalu, pemohon yang terdiri daripada lima suspek bekerja dalam sektor swasta ada mengemukakan Laporan kesihatan palsu yang kononnya disediakan seorang doktor dari sebuah hospital di negeri ini.

“Laporan kesihatan itu adalah sebagai dokumen rujukan bagi mendapatkan laporan perubatan untuk dikemukakan kepada PERKESO bagi tujuan permohonan pencen ilat yang diterima secara bulanan.

“Suspek ini turut menggunakan bantuan seorang lelaki yang bertindak sebagai ejen yang menguruskan permohonan dan mendapatkan kelulusan daripada pihak PERKESO,” katanya hari ini.

Katanya, namun begitu siasatan agensi perisikan PERKESO dari bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) mendapati dokumen surat rujukan itu adalah palsu.

“Hasil siasatan mendapati dokumen surat rujukan yang dikatakan diproses ejen itu adalah palsu dan ia digunakan sebagai dokumen laporan perubatan untuk memohon pencen ilat suspek ini.

“Dalam masa yang sama juga, ejen itu meminta dan menerima habuan sebanyak RM 42,000 daripada tindakannya dalam membantu suspek bagi melakukan permohonan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, satu operasi menahan suspek termasuk ejen ini dilakukan hasil perkongsian maklumat risikan antara PERKESO dan SPRM Perlis.

“Hasil maklumat risikan antara Perkeso dan SPRM Perlis berjaya mengesan dan menahan mereka untuk disoal siasat.

“Suspek lelaki termasuk ejen berkenaan kini ditahan di lokap Balai Polis Kuala Perlis manakala suspek wanita pula ditahan di lokap Balai Polis Kangar untuk tujuan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Ghani mengesahkan penahanan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top