Enam individu ditahan disyaki terbabit kumpulan pengganas

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tiga daripada enam individu ditahan awal tahun lalu, dikesan mengeluarkan ancaman bunuh kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas menteri Kabinetnya kerana didakwa sebagai kerajaan ‘thoghut’.

Thoghut adalah istilah dalam Islam merujuk kepada sesuatu yang disembah atau ditaati selain Allah.

Enam suspek termasuk seorang warga Indonesia ditahan di sekitar sini, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada 6 dan 7 Januari 2020, kerana disyaki terbabit aktiviti Daesh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata turut dirampas dua bendera kumpulan Daesh, sebilah parang dan pisau.

“Kesemua tahanan itu adalah anggota Anshorullah At Tauhid, Sel Islamic State, ditubuhkan pada Oktober 2019 bertujuan mempromosi ideologi salafi jihadi, merekrut anggota baharu dan melancarkan serangan di Malaysia.

“Mereka juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas pusat perjudian di Genting Highlands, Pahang dan kilang arak di sekitar Lembah Klang.

“Merujuk kepada ancaman berkenaan, ia adalah hasrat sering dikeluarkan semua suspek pengganas dan kumpulan pro Daesh ditangkap oleh cawangan khas itu,” katanya dalam kenyataan, tengah malam ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya sentiasa menilai ancaman bunuh dan hasil siasatan menunjukkan tiada perancangan atau persediaan oleh suspek berkaitan ugutan terbabit.

“Tiga individu iaitu dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia mengeluarkan ancaman itu sudah didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) iaitu mempunyai milik, jagaan atau kawalan bahan berkaitan kumpulan pengganas atau pengganas dan sudah dijatuhi hukuman penjara.

“Tiga individu lagi dibebaskan atas arahan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd