Enam jambatan dibom AS-Israel dipulihkan dalam 96 jam

Enam jambatan dibom AS-Israel dipulihkan dalam 96 jam

TEHERAN – Iran mencipta pencapaian luar biasa apabila enam jambatan utama kereta api serta puluhan rangkaian pengangkutan kritikal berjaya dipulihkan dalam tempoh kurang 96 jam selepas dibom dalam konflik lebih 40 hari melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, lapor Press TV pada Jumaat.

Lebih mengejutkan, sebuah jambatan berhampiran Qom dilaporkan kembali beroperasi dalam tempoh kurang 40 jam, sekali gus menggagalkan strategi utama musuh yang bertujuan melumpuhkan negara itu melalui tekanan ekonomi.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 8 April lalu selepas lebih lima minggu konflik berpanjangan dilihat memberi kelegaan kepada orang awam.

Namun, bagi pasukan kejuruteraan Iran, tempoh tersebut dimanfaatkan untuk membuktikan tahap kesiapsiagaan dan ketahanan infrastruktur yang jarang disaksikan dalam sejarah peperangan moden.

Serangan yang menyasarkan jambatan kereta api, lebuh raya, pencawang elektrik dan lapangan terbang awam bertujuan memutuskan rantaian bekalan serta melemahkan semangat rakyat.

Namun, tindak balas pantas pasukan kejuruteraan tempatan dilihat mengubah landskap strategi peperangan moden.

Sebaliknya, tindakan agresif tersebut memperlihatkan keupayaan Iran membina semula infrastruktur kritikalnya dengan lebih pantas berbanding kemusnahan yang dilakukan pihak lawan.

Konflik yang bermula pada 28 Februari 2026 itu menyaksikan sasaran diperluaskan kepada sistem logistik negara, termasuk rangkaian kereta api utama di beberapa wilayah seperti Tehran, Alborz, Qom, Isfahan, Zanjan dan Azerbaijan Timur.

Antara lokasi terjejas termasuk jambatan berhampiran Qom, jambatan Yahya Abad di Kashan, jambatan lengkung di Zanjan, jambatan Hashtrud, jambatan Karaj serta jambatan Charbagh.

Serangan tersebut dipercayai bertujuan memutuskan laluan utara-selatan, mengasingkan Teheran daripada sempadan Turkiye serta menjejaskan hubungan dengan bandar suci Mashhad.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini dilaporkan mengancam untuk memusnahkan infrastruktur utama Iran, manakala pihak Israel mendakwa serangan itu bertujuan menghalang pergerakan senjata.

Namun, pelaburan Iran selama tiga dekad dalam keupayaan kejuruteraan domestik dilihat menjadi faktor utama kegagalan strategi tersebut.

Enam struktur utama yang rosak dikenal pasti dan berjaya dipulihkan, antaranya jambatan Yahya Abad di Isfahan, jambatan kereta api Qom, jambatan Zanjan-Mianeh, jambatan Karaj, laluan Tehran-Mashhad serta jambatan Charbagh.

Tempoh pembaikan yang dicapai dianggap luar jangka, dengan jambatan utama berhampiran Qom siap sepenuhnya dalam tempoh kurang 40 jam, manakala beberapa jambatan lain kembali beroperasi dalam masa 72 jam.

Secara keseluruhan, semua laluan yang terjejas berjaya dipulihkan dalam tempoh kurang 96 jam, sekali gus membolehkan perkhidmatan kereta api disambung semula dengan pantas, termasuk laluan antarabangsa ke Turki.

Kejayaan itu didorong penggunaan teknologi kejuruteraan moden serta perancangan jangka panjang. Jurutera Iran mengaplikasikan pendekatan tiga fasa melibatkan pembersihan segera, pemasangan struktur modular sementara dan pemulihan kekal secara berperingkat.

Penggunaan komponen prafabrikasi, sistem sokongan teleskopik serta teknologi tinjauan berasaskan dron mempercepatkan proses pembinaan semula tanpa menjejaskan keselamatan.

Selain itu, ujian beban turut dilakukan bagi memastikan jambatan yang dipulihkan mampu menampung kapasiti penuh, malah melebihi spesifikasi asal. – Agensi

Scroll to Top