am@hmetro.com.my
Tumpat: Enam kepala lembu yang dimasak resepi air asam menjadi tarikan majlis rumah terbuka di kediaman bekas Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, di sini.
Enam lembu jenis Limousin dengan harga RM13,000 setiap ekor itu disembelih untuk dimasak kari manakala bahagian kepala pula dijadikan menu air asam untuk dijamu kepada hadirin yang hadir.
Che Abdullah yang juga Pengerusi Yayasan Dato’ Che Abdullah Al-Lambori berkata, menu kepala lembu sudah menjadi kebiasaan majlis rumah terbukanya cuma kali ini disediakan lebih banyak dengan resepi berbeza.
“Tahun lalu dua kepala lembu juga jenis Limousin disediakan dengan masakan kari namun kelainan kali ini adalah penambahan kepada enam dan masakan juga berbeza iaitu air asam dan sup ekor lembu.
“Keenam-enam kepala lembu ini dimasak selama enam jam sejak malam tadi dan selain itu, aneka juadah lagi turut disediakan antaranya gulai kawah, sate, nasi Oman dan nasi dagang,” katanya ketika ditemui di Wakaf Bharu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, tiada sebarang simbolik terhadap enam kepala lembu itu sebaliknya disediakan khas untuk jemputan seramai 5,000 tetamu dari pelbagai latar belakang, parti politik serta kaum.
Dalam perkembangan lain, Che Abdullah yang juga bekas calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu untuk Parlimen Tumpat berkata, walaupun kini tidak memegang apa-apa jawatan dalam sebarang parti politik, jiwa kepimpinan masih menebal dan fokus untuk membantu rakyat tetap diutamakan.
Katanya, beliau tidak pernah menutup sebarang peluang jika ada mana-mana pihak yang memberi tawaran termasuk untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Bagaimanapun saya tidak pernah ada cita-cita tinggi dalam politik atau terfikir ke arah itu sebaliknya fokus hanya untuk menggerakkan satu perubahan di Kelantan.
“Sebahagiannya sudah saya buat ketika berada dalam Pas namun masih ada yang belum sempat khususnya berkaitan isu rakyat termasuk perumahan, air, jalan raya kerana saya ada sedikit kemampuan dan itu terpulang kepada rakyat.
“Fokus saya sekarang hanya kepada yayasan namun tidak menutup sebarang peluang yang terbaik kerana ingin meneruskan kerja dakwah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




