Tokyo: Pemain tengah Liverpool yang kurang diberi perhatian, Wataru Endo, berkata, dia percaya masih ada masa depan untuknya di Anfield.
Endo dikaitkan dengan perpindahan pada musim panas dan bos baru Arne Slot hanya menggunakan khidmatnya sekali – sebagai pemain gantian pada minit ke-90 – dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Kapten Jepun itu membuka jaringan dalam kemenangan 7-0 ke atas China dalam kelayakan Piala Dunia di Saitama dan berkata, selepas itu dia ‘tidak begitu bimbang’ mengenai situasi kelabnya.
“Apabila rehat antarabangsa selesai, akan ada siri perlawanan jadi saya akan mendapat lebih banyak peluang,” kata pemain berusia 31 tahun itu.
“Kita tidak boleh hanya menggunakan 11 pemain apabila terdapat banyak perlawanan. Saya yakin saya akan mendapat giliran saya.”
Endo yang bekerja keras memenangi hati penyokong Liverpool selepas ketibaannya yang kurang dikenali dari pasukan Jerman, Stuttgart, tahun lalu.
Dia memainkan peranan penting ketika Liverpool menewaskan Chelsea dalam final Piala Carabao musim lalu, memberikan trofi terakhir kepada bekas jurulatih Jurgen Klopp.
“Keadaan fizikal saya tidak akan menjadi masalah,” kata Endo.
“Saya menjalani latihan dengan baik dan saya tidak risau tentang itu.”
Endo berkata, dia percaya dapat mengekalkan prestasinya untuk negaranya walaupun kurang masa permainan di Liverpool.
Jepun akan berdepan Bahrain di tempat lawan dalam kelayakan Piala Dunia mereka pada hari Selasa.
“Pada usia saya, saya mempunyai pengalaman jadi mendapatkan rasa permainan bukanlah masalah,” katanya.
“Saya rasa saya boleh tampil baik dalam pusingan kelayakan Piala Dunia ini. Perkara penting adalah untuk berlatih dan bersedia dengan baik.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




