Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap bekas pakar patologi Kolonel Dr R. Kunaseegaran atas kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais pada 2015.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azimah Omar menolak permohonan Kunaseegaran untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman matinya.
Ketika membacakan penghakiman, Hashim berkata Kunaseegaran, 63, gagal memenuhi ambang undang-undang yang diperlukan untuk semakan di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Beliau berkata Kunaseegaran telah menarik balik rayuannya terhadap hukuman, sekali gus menyebabkan tiada lagi isu untuk dipertimbangkan mahkamah.
Mahkamah turut menolak dakwaan Kunaseegaran bahawa panel hakim terdahulu hanya meneliti isu berkaitan dengan motif dan pertuduhan yang didakwa cacat, berdasarkan nota prosiding, panel berkenaan telah meneliti isu lain termasuk keterangan mengikut keadaan, pertuduhan, keterangan seorang saksi pendakwaan dan pembelaannya.
Oleh itu, adalah tidak betul untuk mendakwa bahawa panel sebelum ini tidak mempertimbangkan isu berkenaan.
Hashim berkata ketiadaan alasan penghakiman penuh secara bertulis tidak boleh dijadikan asas untuk membenarkan permohonan semakan selain menegaskan bahawa tiada pelanggaran terhadap Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Kunaseegaran, Datuk Malik Imtiaz Sarwar berhujah bahawa anak guamnya tidak diberi perbicaraan yang adil kerana kesemua enam alasan rayuan diberi pertimbangan sewajarnya oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Beliau juga berhujah bahawa hak Perlembagaan Kunaseegaran di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan telah dilanggar.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berhujah bahawa panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah mempertimbangkan semua fakta, isu undang-undang dan hujahan yang dibangkitkan oleh Kunaseegaran, justeru tidak berlaku kesalahan terhadap pelaksanaan undang-undang yang mewajarkan permohonan semakan keputusan itu.
Beliau berkata ketiadaan alasan penghakiman penuh secara bertulis oleh panel Mahkamah Persekutuan terdahulu bukan alasan yang sah untuk Kunaseegaran mendakwa haknya terhadap keadilan asasi yang telah dicabuli.
Kunaseegaran adalah antara enam lelaki yang disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020, kerana membunuh Morais yang hilang pada 4 Sept 2015, yang mayatnya kemudian ditemukan di dalam tong dram yang diisi konkrit di Subang Jaya.
Kesalahan itu dilakukan di sekitar Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 malam hingga 8 malam pada 4 September 2015.
Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 14 Mac 2024.
Pada 1 Julai 2025, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati Kunaseegaran selepas beliau menarik balik rayuan terhadap hukumannya.
Dalam keputusan yang sama, mahkamah menggantikan hukuman mati terhadap S. Nimalan, 33, dan S. Ravi Chandran, 55, kepada hukuman penjara, manakala tiga lagi tertuduh, iaitu R. Dinishwaran, 34, A.K. Thinesh Kumar, 33, dan M. Vishwanath, 36, dilepaskan dan dibebaskan.
Pada prosiding hari ini, Kunaseegaran juga diwakili oleh peguam Datuk N. Sivananthan, A. Surendra Ananth, Jasmine Cheong dan Abby Si Xinyi, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir, Norshazwani Ishak, Mohamad Arif Aizuddin Masrom dan Jasmee Hameeza Jaafar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




