Enggan dengar cerita sebelah pihak, Pemuda UMNO tawar guaman percuma buat pemandu Aruz

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada pemandu Perodua Aruz yang terbabit dalam pergaduhan dengan pemandu Ferrari di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tawaran itu dibuat susulan perkembangan isu berkenaan yang menurutnya tidak wajar dilihat daripada satu pihak sahaja.

Beliau berkata, pada peringkat awal, beliau tidak mahu campur tangan dalam kejadian yang tular itu namun berubah pendirian selepas pemandu Ferrari, Tiang How Soon, 40, tampil membuat kenyataan kepada media.

“Ceritanya bukan sebelah pihak sahaja, kalau kita dengar daripada satu pihak sudah tentulah perkara ni tak akan jadi dan saya dengar pemandu Ferrari nak bawa abang pemandu Aruz ni ke mahkamah.

“Jadi saya sokong tindakan itu dan bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, kita akan berikan perkhidmatan peguam secara percuma kepada abang pemandu Aruz ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Menurutnya, bantuan guaman itu bertujuan memastikan pemandu Aruz mendapat peluang keadilan dan membolehkan mahkamah menentukan pihak yang bersalah atau tidak bersalah.

Katanya, beliau mahu perkara berkenaan diselesaikan melalui proses perundangan dan bukannya berdasarkan kenyataan daripada satu pihak sahaja.

“Biar mahkamah yang putuskan sama ada siapa yang bersalah, siapa yang tidak bersalah.

“Jadi kepada abang pemandu Aruz ataupun siapa yang kenal dia tolong hubungi saya. Saya nak tuntut keadilan untuk abang pemandu Aruz.

“Saya rasa keadilan bukan hanya tertakluk kepada siapa yang banyak duit tetapi keadilan tertakluk kepada siapa yang benar-benar berani, siapa yang benar-benar tidak bersalah dalam hal ini,” katanya. 

Akmal berkata, pihaknya akan bersama pemandu Aruz itu sekiranya perkara berkenaan dibawa ke mahkamah dan membiarkan proses perundangan menentukan pihak yang benar.

“Kepada abang pemandu Aruz, insya-Allah kami akan bantu dengan bantuan guaman secara percuma untuk menuntut keadilan abang di mahkamah… jangan takut, kita lawan sama-sama,” katanya.

Sebelum ini, video memaparkan pergaduhan dipercayai membabitkan pemandu Ferrari dan Perodua Aruz di PLUS tular di media sosial pada 8 Ogos lalu.

Tiang yang juga seorang ahli perniagaan kemudian tampil menjelaskan kejadian berkenaan di sidang media dan berkata, dia tidak berniat mencetuskan kekecohan, selain mendakwa insiden berlaku tanpa sebarang pelanggaran antara kedua-dua kenderaan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kedua-dua pemandu berusia 40 dan 35 tahun itu sudah mengadakan pertemuan serta perbincangan secara persendirian, namun pihak polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top