Enggan Terpalit Isu, Rabbani Teliti Terlebih Dahulu Sebelum Terima Tawaran Sebagai Duta Umrah

Enggan Terpalit Isu, Rabbani Teliti Terlebih Dahulu Sebelum Terima Tawaran Sebagai Duta Umrah

Sering dilantik menjadi duta oleh agensi umrah, kumpulan Rabbani menegaskan bahawa mereka tidak terburu-buru menerima sebarang tawaran tanpa terlebih dahulu menyelidik latar belakang syarikat yang menawarkan kerjasama.

Menurut Azadan Abdul Aziz selaku wakil kumpulan Rabbani, penelitian dilakukan bukan kerana cerewet tetapi untuk memastikan ketelusan dan menjaga nama baik Rabbani.

“Syukur, masih ramai pihak yang percaya kepada Rabbani untuk bersama-sama dalam rombongan menunaikan umrah ke Makkah.

“Selepas lebih 10 kali menunaikan ibadah ini, kami berbesar hati dapat berkongsi pengalaman di Tanah Suci serta ziarah di Madinah. Kami mahu memastikan bakal jemaah lain juga dapat beribadah dengan lancar melalui agensi yang boleh dipercayai.

“Setiap tawaran sebagai duta akan kami tapis dan semak latar belakang syarikat terlebih dahulu. Selepas 27 tahun dalam industri seni, kami tidak mahu merosakkan nama hanya kerana tersilap memilih,” katanya kepada XTRA.

Turut menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Radius Worldwide Travel & Tours, Azadan menyatakan keyakinannya terhadap kestabilan syarikat tersebut yang juga mempunyai rangkaian perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Sebelum bersetuju menjadi duta bersama anggota Rabbani yang lain dan memikul tanggungjawab sebagai CEO, saya telah memastikan syarikat ini mempunyai kewangan yang kukuh.

“Berbeza dengan sebahagian agensi lain yang menggunakan wang jemaah sebagai modal pusingan, Radius Worldwide Travel & Tours berada dalam keadaan stabil. Ini dibuktikan melalui kajian dan pemerhatian saya. Syarikat ini juga mempunyai wakil di hampir setiap negeri dan dipayungi oleh induk yang kukuh,” jelasnya.

Azadan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran pakej umrah awal Ramadan dan perasmian Radius Worldwide Travel & Tours Sdn Bhd pada Isnin.

Azadan turut berkongsi bahawa mereka akan berpuasa awal Ramadan di Makkah pada tahun depan sambil mengelolakan operasi serta pengurusan jemaah sepanjang ibadah umrah tersebut.

“Selain memastikan perjalanan umrah berjalan aman dan lancar, kami juga ingin menyantuni jiwa para jemaah dengan cara kami melalui lagu nasihat, sejarah, zikir, dan selawat,” tambahnya.

Pada majlis sama, turut dilancarkan Pakej Umrah Sambut Ramadan Bersama Rabbani, yang dijadualkan berlangsung dari 21 Februari hingga 4 Mac 2025.

Pakej selama 12 hari ini merangkumi perjalanan umrah dan ziarah, di mana jemaah akan merasai tiga hari pertama Ramadan di Madinah sebelum pulang ke tanah air.

Scroll to Top