England bangkit ikat Hungary di Wembley

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

NAIB juara Eropah, England sekali lagi memilih jalan sukar untuk ke Qatar 2022 apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menyambut kunjungan Hungary dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Stadium Wembley.

Keputusan itu menyaksikan anak buah Gareth Southgate memimpin Kumpulan I dengan kelebihan tiga mata mengatasi pencabar terdekat Poland.

Biarpun begitu perlawanan berintensiti tinggi kedua-dua pasukan turut dicemari pergaduhan antara penyokong-penyokong pelawat dengan anggota pihak berkuasa sebaik bermulanya aksi The Three Lions-Magyars.

Magyars kendalian Marco Rossi yang tampil dengan misi menebus kekalahan 0-4 di Budapest sebelum ini terlebih dulu di depan pada minit ke-24 selepas

Roland Sallai menyempurnakan sepakan penalti selepas Luke Shaw mengasari Loci Nego.

Bagaimanapun, kedudukan itu berubah apabila England menyamakan kedudukan menerusi John Stones yang menyudahkan sepakan percuma Phil Foden pada minit ke-37.

Sementara itu, Southgate memuji kualiti dipamerkan pasukan pelawat pada masa sama mengakui kelemahan tuan rumah yang tidak berada pada tahap terbaik.

“Tahniah kepada Hungary yang menghadirkan masalah taktikal kepada England, pada ketika kami kurang lancar pada perlawanan yang bukan persembahan England sebenar.

“Kami melakukan banyak kesilapan mudah dalam perlawanan yang keseluruhannya bukan gaya bola sepak The Three Lions,” ujarnya.

England masih merupakan pilihan menjuarai peringkat kumpulan akan berdepan Albania dan San Marino bulan depan.