Arlington: England berpeluang meletakkan diri di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati apabila membuka kempen Kumpulan L Piala Dunia 2026 menentang Croatia, Rabu ini.
Turut dibarisi Ghana dan Panama, pertemuan dua pasukan pilihan kumpulan itu dianggap cukup penting kerana kemenangan mampu memberi kelebihan awal dalam perebutan tiket ke pusingan seterusnya.
Namun, perlawanan itu turut menghidupkan semula kenangan pahit England apabila Croatia menyingkirkan mereka 2-1 menerusi masa tambahan pada separuh akhir Piala Dunia 2018 di Russia.
Walaupun kedua-dua pasukan sudah mengalami perubahan besar, bayangan kekalahan itu masih menghantui Three Lions.
England hadir ke kejohanan kali ini dengan reputasi antara calon juara selepas mengharungi kempen kelayakan sempurna tanpa bolos sebarang gol.
Di bawah bimbingan Thomas Tuchel, England tampil lebih tersusun dan berdisiplin dengan tonggak utama seperti Harry Kane, Jude Bellingham dan Bukayo Saka menjadi sandaran.
Pemain tengah berpengalaman, Jordan Henderson percaya kekuatan sebenar England bukan terletak pada individu semata-mata, sebaliknya semangat berpasukan.
“Apabila kami bersama, ia menjadi kekuatan utama kerana pasti akan ada detik sukar dalam sesebuah kejohanan, terutama di Piala Dunia.
“Ia tidak akan sentiasa berjalan seperti yang diharapkan. Akan ada saat anda perlu berjuang bersama dan semakin rapat hubungan dalam pasukan, semakin mudah untuk mengharunginya.
“Saya rasa kami berada di landasan yang baik. Kini kami hanya perlu mengharungi perlawanan pertama dan menunjukkan kepada dunia betapa hebatnya pasukan ini,” katanya.
Tuchel pula hanya berdepan dilema pemilihan pemain, khususnya di bahagian tengah, pertahanan serta posisi nombor 10 yang menyaksikan Jude Bellingham dan Morgan Rogers bersaing merebut tempat.
Croatia pula kekal sebagai antara pasukan paling sukar dijinakkan di pentas antarabangsa.
Mereka tidak tewas sepanjang kempen kelayakan dengan hanya tercicir mata ketika seri menentang Republik Czech, selain masih dibimbing kapten berusia 40 tahun, Luka Modric.
Modric yang dijangka beraksi dalam Piala Dunia kelima dan terakhirnya akan bergandingan dengan Mateo Kovacic untuk mengawal tempo permainan serta merencatkan corak tekanan tinggi England.
Pertarungan di bahagian tengah dijangka menjadi penentu kepada keputusan perlawanan.
Bagi England, aksi pembukaan ini adalah peluang membuktikan status mereka sebagai pencabar kejuaraan.
Bagi Croatia pula, ia adalah satu lagi pentas untuk membuktikan bahawa mereka sentiasa mampu mencipta kejutan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




