Abuja: Wabak kolera di Nigeria telah mengorbankan lebih 90 orang dan menjangkiti ribuan yang lain sejak Mei, dengan wilayah timur laut negara itu menerima kesan paling buruk, menurut pihak berkuasa tempatan laporan Xinhua.
Negeri Borno di timur laut merekodkan lebih 85 kematian dan 8,457 kes antara 1 Mei hingga 7 Jun, menurut kerajaan negeri, dengan ibu negerinya, Maiduguri, menjadi kawasan paling teruk terjejas ekoran kepadatan penduduk yang tinggi dan kem pelarian yang sesak.
Di negeri Plateau yang terletak di bahagian tengah pula, pegawai kesihatan mengesahkan pada Ahad bahawa lima orang telah meninggal dunia, manakala 11 kes disahkan dan 53 kes susulan dilaporkan.
Ketua Agensi Pengurusan Penjagaan Kesihatan Bercaruman Negeri Borno, Saleh Kaza menyifatkan situasi berkenaan sebagai “kecemasan kesihatan awam yang serius sehingga membebankan infrastruktur kesihatan dan sistem tindak balas kecemasan.”
Pihak berkuasa kesihatan berkata wabak itu berpunca daripada bermulanya musim hujan tahunan serta infrastruktur air yang terjejas.
Pada April, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Nigeria meletakkan 10 negeri dalam amaran tinggi berhubung risiko wabak kolera yang dikaitkan dengan hujan lebat dan banjir, selain memberi amaran bahawa wilayah yang terjejas menghadapi peningkatan risiko penyakit berkenaan.
Kerajaan Nigeria telah mengaktifkan sistem pengurusan insidennya dan menggerakkan pasukan kesihatan ke wilayah yang terjejas.
Organisasi antarabangsa, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dan badan amal perubatan Doctors Without Borders, turut menyertai usaha memerangi wabak itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Borno Bukar Tijjani berkata negeri itu telah melaksanakan langkah kecemasan, termasuk menyekat akses ke sumber air seperti empangan tempatan dan takungan air, serta memperluas bekalan air minuman yang selamat melalui lori tangki, sementara siasatan mengenai punca wabak masih dijalankan.
Kolera, sejenis penyakit cirit-birit akut yang disebabkan oleh makanan atau air yang tercemar, kekal menjadi cabaran kesihatan awam yang besar di Nigeria, terutamanya di negeri-negeri yang terjejas akibat banjir serta mempunyai infrastruktur air dan sanitasi yang daif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




