England miliki aura menyerlah di Euro 2024

England miliki aura menyerlah di Euro 2024

SEPARUH daripada skuad England kendalian Gareth Southgate untuk Euro 2024 tidak pernah beraksi dalam kejuaraan besar, namun kapten Harry Kane percaya setiap pemain The Three Lions mempunyai pengalaman yang cukup untuk berjaya di Jerman.

Harry Maguire, yang mempunyai 63 penampilan, dan Jack Grealish (36 penampilan) adalah antara diketepikan ketika Southgate mengurangkan skuadnya kepada 26 pemain untuk Euro Jerman 2024 yang menyingkap tirai dari 15 Jun hingga 15 Julai.

“Saya percaya kami mempunyai lebih daripada cukup pengalaman. Terutamanya ramai pemain yang pernah bermain dalam dua atau tiga kejohanan. Akan sentiasa ada pemain baharu, pemain yang layak berada di sini.

“Bagi pemain yang terlepas peluang bersama England, sejujurnya saya sedih melihat tetapi itulah keputusan sukar yang perlu dibuat pengurus.

“Semua orang mendapat hak untuk berada di sini. Setiap orang membawa sesuatu yang berbeza kepada pasukan dan kami memerlukan kesemua 26 pemain jika kami mahu berjaya,” kata Kane.

Sebelum ini, Kane yang berstatus penyerang Bayern Munich, bergelut kecederaan belakang menjelang penghujung musim tetapi kembali bermain ketika England mengatasi Bosnia Herzegovina 3-0 yang sebelum itu tewas 0-1 kepada Iceland.

“Saya baik-baik sahaja. Perancangan adalah untuk saya bermain 60 minit menentang Iceland.

“Mendapat latihan yang baik, 30 minit (menentang Bosnia Herzegovina). Saya berasa sangat bersedia dan berada di tempat yang baik,” kata Kane mengenai kecergasannya.

Sebagai rekod, England akan memulakan kempen Kumpulan C Euro 2024 menentang Serbia pada 17 Jun di Veltins Arena, Gelsenkirchen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!