England tangguh terbang ke Mexico City bimbang kena intip

England tangguh terbang ke Mexico City bimbang kena intip

Kansas City: Persiapan England menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Mexico Isnin ini menjadi perhatian selepas didedahkan mereka akan menangguhkan perjalanan ke Mexico City susulan kebimbangan terhadap risiko pengintipan.

Selepas menang 2-1 ke atas DR Congo, pengurus Thomas Tuchel bersama skuad England pulang semula ke kem latihan mereka di Kansas City.

Difahamkan, mereka memilih untuk tidak terus terbang dari Atlanta ke Mexico City atas beberapa faktor, termasuk bagi mengelakkan pihak lawan mengintip sesi latihan pasukan.

Menurut laporan, Tuchel bertegas tidak mahu sebarang perancangan taktikalnya bocor sebelum perlawanan, sekali gus memilih untuk menjalankan persiapan penting seperti formasi dan corak permainan di kem utama England.

Sesi latihan di Kansas dikawal ketat oleh pihak polis dan pengawal keselamatan, manakala kem England percaya risiko latihan mereka diperhatikan pihak lawan akan meningkat sekiranya mereka tiba lebih awal di Mexico.

Namun, keputusan itu turut mempunyai kelemahan kerana skuad England mempunyai masa lebih singkat untuk menyesuaikan diri dengan altitud tinggi di Mexico City, sesuatu yang turut dibangkitkan penyokong.

Seorang penyokong berkata: “Jangan tangguh terlalu lama. Udara di Mexico lebih nipis dan pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sebelum perlawanan.”

Seorang lagi menulis: “Bagaimana pula dengan altitud 2,200 meter dari aras laut? Mereka perlukan masa untuk menyesuaikan diri.”

Seorang lagi menyindir: “Tak perlu risau tentang taktikal, sebab kita memang tiada bentuk permainan. Saya lebih bimbang mengenai altitud.”

Stadium Azteca terletak pada ketinggian lebih 7,000 kaki dari aras laut, iaitu kira-kira satu setengah kali lebih tinggi daripada puncak Ben Nevis, gunung tertinggi di United Kingdom.

Bagaimanapun, Tuchel percaya adalah mustahil untuk pemain menyesuaikan diri dengan altitud tersebut dalam tempoh yang begitu singkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top