Warga asing disenarai hitam antara 13 ditahan masuk melalui 'lorong tikus'

Warga asing disenarai hitam antara 13 ditahan masuk melalui 'lorong tikus'

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cubaan 13 warga asing termasuk yang disenarai hitam daripada memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan atau ‘lorong tikus’ di sempadan Kelantan berjaya dipatahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi semalam.

Kesemua individu berusia 22 hingga 55 tahun itu menggunakan laluan berkenaan bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kejayaan itu hasil operasi khas yang bermula 5.10 pagi di dua lokasi sekitar Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, ia membabitkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat JIM Putrajaya, JIM Kelantan serta Unit Risik Marin Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Pasukan operasi menyerbu lokasi pertama di sekitar terminal bas dan menahan lapan lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki serta seorang wanita warga Indonesia.

“Di lokasi kedua iaitu di sekitar kawasan perumahan, pasukan operasi berjaya menahan seorang wanita warga Myanmar yang sebelum itu cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyita empat pasport Bangladesh, empat pasport Indonesia serta sebuah Proton Preve yang dipercayai digunakan bagi memudahkan pergerakan warga asing terbabit.

Katanya, terdapat beberapa orang daripada warga asing yang ditahan adalah individu yang disenarai hitam daripada memasuki Malaysia dan cuba menceroboh melalui laluan tidak sah itu.

“Semua tahanan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Mereka dibawa ke pejabat imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zakaria berkata, pihaknya terus komited dalam membanteras sebarang aktiviti penyeludupan migran dan akan mempergiatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan negara terus terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top