Enjin terbakar, pesawat AirAsia selamat mendarat di KLIA 2

Enjin terbakar, pesawat AirAsia selamat mendarat di KLIA 2

Shah Alam: Penerbangan AirAsia AK128 dalam perjalanan ke Shenzhen, China terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) sejurus berlepas, kerana dilaporkan berlaku kebakaran enjin di sebelah kanan pesawat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung pendaratan kecemasan pesawat pada 10.37 malam, sebelum menggerakkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama sembilan anggota ke lokasi.

Beliau berkata, pesawat yang berlepas pada 9.59 malam dan membawa 171 penumpang serta anak kapal itu, mendarat dengan selamat pada 12.08 tengah malam di KLIA 2 dengan api sudah dipadamkan.

“Pegawai Operasi melaporkan pesawat jenis Airbus A320-216 itu mengalami kerosakan pada Pneumatic Ducting Burst dan api sudah dipadamkan oleh sistem Halon dalam pesawat sebelum pesawat mendarat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, bomba kemudiannya bertindak membantu mengeluarkan mangsa dari pesawat dan memastikan tiada lagi punca api sehingga selesai.

Beliau berkata, operasi oleh Balai Bomba dan Penyelamat KLIA itu, turut membabitkan tiga anggota daripada pasukan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top