lizamridzuan@hmetro.com.my
Shah Alam: EON Berhad menyasarkan mengendalikan sehingga 400 kenderaan sebulan menerusi pembukaan EON Body-and-Paint Hub di Glenmarie, di sini, bagi mengembangkan perniagaan selepas jualan dan meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Akkbar Danial berkata, kemudahan seluas 41,508 kaki persegi itu mempunyai kapasiti operasi antara 360 hingga 400 kenderaan sebulan, dengan sasaran meningkatkan jumlah pengendalian secara berperingkat.
“Hubungan kami dengan pelanggan tidak berakhir apabila mereka memandu keluar kenderaan baharu dari bilik pameran. Ia berterusan sepanjang tempoh pemilikan, termasuk penyelenggaraan dan pembaikan akibat kemalangan,” katanya pada majlis perasmian pusat itu di sini, hari ini.
Pusat itu dilengkapi 39 ruang servis, tiga bilik penyediaan cat dan empat ruang semburan cat, selain menawarkan perkhidmatan pembaikan akibat kemalangan, pemulihan badan kenderaan dan kemasan semula cat.
Menurut Akkbar, kemudahan itu mendapat kelulusan prinsipal bagi jenama Proton, Audi, Mitsubishi dan smart.
Ia turut bersedia mengendalikan pembaikan kenderaan elektrik (EV) serta kalibrasi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).
Menurutnya, pusat itu mempunyai 17 kakitangan pentadbiran dan 25 pekerja bagi mengendalikan operasi baik pulih serta cat kenderaan.
Operasinya turut disokong peralatan khusus yang memenuhi keperluan prinsipal bagi memastikan kerja pembaikan dilakukan mengikut piawaian ditetapkan.
Menurutnya, pelaburan dalam peralatan berteknologi tinggi itu penting bagi memastikan ketepatan kerja pembaikan, termasuk penjajaran badan kenderaan dan komponen berkaitan.
Pusat itu turut menggunakan prosedur operasi standard (SOP) serta sistem digital untuk memantau aliran kerja dan penggunaan ruang servis, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan operasi dan memastikan ketelusan perkhidmatan.
“Kami akan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan pada harga setimpal dengan nilai dan kualiti yang ditawarkan,” katanya.
EON akan menilai prestasi pusat di Glenmarie sebelum mempertimbangkan pembukaan kemudahan seumpamanya di wilayah utara, tengah, selatan dan timur, bergantung pada permintaan pasaran.
Syarikat itu juga melihat kemungkinan menerima kenderaan daripada jenama lain di luar rangkaiannya sekiranya permintaan dan keupayaan operasi mengizinkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




