'Honor Walk' buat imam muda Mohammad Syazwan: Warga hospital beri penghormatan akhir buat penderma organ

'Honor Walk' buat imam muda Mohammad Syazwan: Warga hospital beri penghormatan akhir buat penderma organ

mukhriz.husin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kakitangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, Negeri Sembilan, memberi penghormatan akhir kepada jenazah imam muda Masjid Bandar Baharu Serting, Mohammad Syazwan Mahadi, 28, bagi mengenang jasanya, menerusi ‘Honor Walk’, pagi tadi.

Ia sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan dan jasa Allahyarham yang terus memberi harapan kepada insan lain menerusi pendermaan organ.

Menerusi klip video yang tular di Facebook pada hari ini, warga hospital berkenaan dilihat berbaris mengiringi perjalanan jenazah Allahyarham sebagai penghormatan terakhir.

Video berdurasi 41 saat itu turut memaparkan beberapa kakitangan menolak katil yang membawa jenazah Allahyarham, melalui laluan yang diiringi warga hospital sebelum memasuki sebuah ruang.

Hantaran berkenaan mendapat pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang terharu dengan pengorbanan Allahyarham, selain memuji usahanya dalam terus berbakti membantu insan yang memerlukan.

Sebelum ini, media melaporkan Mohammad Syazwan maut selepas motosikal Yamaha 135LC yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah Honda Civic di Kilometer 21, Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Kuala Pilah, 2.06 petang semalam.

Mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta berusia 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top