EP Manufacturing catat untung bersih sukuan tertinggi

EP Manufacturing catat untung bersih sukuan tertinggi

KUALA LUMPUR: Pengeluar alat ganti automotif EP Manufacturing Bhd (EPMB) mencatat pemulihan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (4Q21) dengan keuntungan bersih suku tahunan tertinggi dalam tujuh tahun.

Ia diraih di sebalik kesan sekatan pergerakan dan bencana banjir di Semenanjung Malaysia Disember 2021, yang mengganggu operasi banyak pengeluar kereta.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat melaporkan keuntungan bersih selepas cukai pada 4Q21 melonjak kepada RM2.74 juta berbanding kerugian bersih selepas cukai kecik iaitu sebanyak RM0.62 juta pada suku yang sama sebelumnya.

“Asas syarikat mengukuh didorong langkah strategik Kumpulan untuk menyelaraskan kos dan meningkatkan kecekapan operasi, serta susut nilai dan pelunasan yang lebih rendah pada suku dalam tinjauan susulan beberapa jentera telah mengalami susut nilai sepenuhnya.

“Pendapatan EPMB pada 4Q21 dicatat pada RM126.8 juta berbanding RM134.2 juta pada suku yang sama sebelumnya. Had atas syarikat yang lebih rendah disebabkan terutamanya oleh bencana banjir pada pertengahan Disember yang mana menjejaskan banyak pengeluar kenderaan dan vendor mereka di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Bagi keseluruhan tahun kewangan 2021 (TK2021), EPMB berjaya mengurangkan kerugian bersih selepas cukai hampir RM6.7 juta atau 45 peratus tahun-ke-tahun kepada RM8.2 juta daripada RM14.9 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatan bagi tempoh 12 bulan dicatatkan pada RM345.4 juta berbanding RM408.9 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Mengulas mengenai keputusan kewangan terkini, Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata: “Usaha kami untuk membawa Kumpulan kembali mencatat keuntungan telah mula membuahkan hasil yang positif, walaupun kami terjejas oleh faktor luaran seperti sekatan pergerakan, gangguan rantaian bekalan dan banjir besar pada tahun lalu.

“Dengan tahun 2022 dijangka menjadi tahun pemulihan susulan janji kerajaan untuk mengelakkan penutupan ekonomi seluruh negara, ini sesuatu yang positif untuk banyak sektor perniagaan, termasuk automotif,” katanya.

Menurut beliau, pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga 30 Jun 2022 dan pemulihan yang memberangsangkan dalam jualan kereta adalah pemangkin utama EPMB.

Merujuk pada faktor itu, katanya syarikat berharap untuk mencapai prestasi yang lebih kukuh pada TK2022.

“Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati dan percaya bahawa cabaran akan terus berlarutan pada 2022. Prestasi Kumpulan akan bergantung kepada permintaan pasaran untuk kenderaan dan keadaan ekonomi Malaysia.”

“Kumpulan itu berkata sektor automotif dijangka menyaksikan pemulihan yang lebih kukuh pada 2022, dengan jumlah unjuran jumlah industri (TIV) pada 600,000 unit berbanding 508,911 unit pada 2021,” katanya.

Pemulihan yang memberangsangkan dalam jualan kenderaan adalah dijangkakan dengan pembukaan aktiviti ekonomi dan lanjutan pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga 30 Jun 2022.

Menyingkap kembali, EPMB memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) pada 10 November 2021 untuk meneroka penubuhan pelan pengeluaran dan penyetempatan untuk memasang kenderaan elektrik 2-roda dan 4-roda.

Sebagai permohonan pertama, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mewujudkan Ekosistem Penghantaran Super, dan untuk menggabungkannya dengan Penyelesaian Pembayaran Elektronik.

EPMB disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, memiliki perniagaan teras dalam pembuatan Peringkat-1 dan pembekalan panel badan logam, bahagian casis, dan pemasangan modular seperti gandar belakang, sistem brek dan tangki bahan api. Ia juga mengeluarkan pemasangan modular kejuruteraan plastik untuk Pengilang Peralatan Asal (OEM) dalam industri automotif.

Pelanggan utama Kumpulan adalah termasuk pembuat kereta nasional Perodua dan Proton serta pembuat kereta bukan nasional seperti Honda, Mazda dan Toyota.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top