Era Alexander-Arnold di Anfield berakhir

Era Alexander-Arnold di Anfield berakhir

PEMAIN bek kanan England, Trent Alexander-Arnold, mengesahkan akan meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, pada penghujung musim ini.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang telah berada di kelab tersebut sejak berusia enam tahun, akan tamat kontrak pada 30 Jun dijangka menyertai gergasi La Liga Sepanyol, Real Madrid.

“Selepas 20 tahun bersama Kelab Bolasepak Liverpool, kini tiba masanya mengesahkan bahawa saya akan pergi pada akhir musim ini..

“Ini adalah keputusan paling sukar yang pernah saya buat dalam hidup saya,” umum Alexander-Arnold di media sosial.

Alexander-Arnold adalah salah seorang daripada tiga pemain berprofil tinggi yang kontraknya di Anfield berakhir pada musim panas ini.

Biarpun Mohamed Salah dan Virgil van Dijk telah menandatangani kontrak baharu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Alexander-Arnold akan pergi apabila kontraknya tamat.

Pemain pertahanan kelahiran Liverpool itu membuat 352 penampilan, menjaringkan 23 gol dan memberikan 86 bantuan gol untuk kelab itu sejak membuat debut pada 2016.

Beliau telah membantu The Reds memenangi gelaran liga utama musim ini di bawah kendalian Arne Slot dan juga memenangi Liga Perdana Inggeris di bawah bekas pengendali The Reds, Jurgen Klopp, pada musim 2019-20.

Trofi-trofi lain yang dimenanginya bersama Liverpool termasuk Liga Juara-Juara pada 2018-19, Piala FA 2022 dan dua Piala Liga.

“Kelab ini telah menjadi seluruh hidup saya – seluruh dunia saya – selama 20 tahun…

“Dari akademi hingga kini, sokongan dan kasih sayang yang telah saya rasakan daripada semua orang di dalam dan di luar kelab akan kekal bersama saya selamanya. Saya akan selamanya berhutang budi kepada anda semua.

“Tetapi, saya tidak pernah mengenali apa-apa lagi dan keputusan ini adalah mengenai mengalami cabaran baharu, membawa diri keluar dari zon selesa dan mendorong diri saya baik dari segi profesional mahupun peribadi,” tambah Alexander-Arnold.

Sementara itu, Liverpool dalam satu kenyataan berterima kasih dan menghargai sumbangan serta khidmat Alexander-Arnold sepanjang tempoh kejayaan berterusan kelab Merseyside tersebut.

INFO

Pencapaian Alexander-Arnold di Liverpool:

2 – Liga Perdana Inggeris

1 – Liga Juara-Juara

1 – Piala Super

1 – Piala Dunia Kelab

1 – Piala FA

2 – Piala Liga

1 – Perisai Komuniti

3 – Pasukan Terbaik Tahunan PFA

2 – Pasukan Terbaik Liga Juara-Juara

1 – Pemain Muda Terbaik Liga Perdana

1 – Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA

1 – Pasukan Terbaik Tahunan UEFA

1 – FIFA FIFPro World11

Scroll to Top