mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kira-kira RM450 juta.
Perintah reman selama dua hari sehingga esok terhadap suspek yang bergelar Datuk berusia sekitar 60-an, manakala reman selama lima hari sehingga 9 Mei terhadap seorang lagi suspek yang berusia sekitar 50-an, dikeluarkan Pendaftar Siti Roslizawati Mohd Zanin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan kira-kira 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM450 juta yang menggunakan dana sukuk dan mendapatkan fasiliti dari sebuah pejabat wilayah dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion.
“Tangkapan ini adalah susulan daripada tangkapan sebelum ini yang membabitkan tuntutan butir matan palsu bernilai kira-kira RM360 juta dan jumlah keseluruhan tuntutan palsu ini bernilai kira-kira RM800 juta,” katanya.
Suspek yang bergelar Datuk sebelum ini pernah ditahan reman selama empat hari pada 30 April hingga 3 Mei lalu, membabitkan kes tuntutan palsu kira-kira RM360 juta.
Bagaimanapun, beliau ditahan sekali lagi bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu yang kali ini membabitkan jumlah kira-kira RM450 juta.
Minggu lalu, seramai lima individu ditahan reman berkaitan kes ini dan empat daripadanya telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd




