mohamadridzuan@hmetro.com.my
Meriah lain macam! Begitulah suasana Rumah Terbuka Last Kopek Raya Bersama Rocketfuel yang berlangsung di Rumah Abang Jamil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Apa tidaknya, majlis anjuran Rocketfuel Entertainment ini diadakan penuh meriah bagi meraikan kejayaan tiga lagu Raya hebat mereka yang mencatat lebih 1.7 bilion strim dan tontonan.
Ia turut menyaksikan pencapaian carta nombor satu dan tarian tular untuk karya Raya Meriah Lain Macam nyanyian duet Hael Husaini dan Nadeera, Nyam Nyam Ketupat (Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan MissAlvy) dan Dam Dim Dum Rayanya (Nadeera).
Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee berkata, ketiga-tiga lagu ini sudah mengumpulkan lebih 1.7 bilion strim/tontonan secara kolektif di YouTube dan platform digital lain, menjadikannya antara projek muzik raya paling berjaya dalam sejarah Rocketfuel Entertainment.?
Meriah Lain Macam mencatat kedudukan nombor satu di carta Malaysia dan Brunei. Lagu Raya ‘viral’ ini sudah mencatat lebih 16 juta tontonan di YouTube dan menduduki tangga nombor satu di pelbagai carta, termasuk Carta RIM (Lagu Melayu) (kini dikenali sebagai Official Malaysia Chart), Billboard Malaysia, YouTube Music Malaysia dan YouTube Music Brunei.
“Lagu ini juga trending nombor satu di YouTube selama 33 hari berturut-turut. Nyam Nyam Ketupat pula tersenarai sebagai lagu raya paling ceria 2025 dan tarian tular serta lagu Raya ‘cute’ dan ‘catchy’. Dengan melodi yang comel dan lirik yang mencuit hati, lagu ini sudah meraih hampir lapan juta tontonan di YouTube dan mencapai kedudukan nombor tiga Most Streamed Malay Singles In Malaysia,” katanya.
Lagu ini juga memperkenalkan tarian unik yang menjadi tular di media sosial, dan menariknya, bintang sukan badminton dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris, Victor Axelsen turut menggunakan Nyam Nyam Ketupat sebagai lagu latar dalam salah satu hantaran di akaun TikToknya ketika sesi latihan di Kelab Badminton Gentofte, Denmark.
“Untuk Dam Dim Dum Raya sentuhan istimewa Nadeera berjaya meraih lebih 800,000 tontonan di YouTube dan ia satu pencapaian yang membanggakan.
“Terima kasih kerana menyokong artis-artis kami dan lagu-lagu kami dan terima kasih juga kerana menonton di pelbagai platform. Kami sangat menghargainya,” katanya.
Melihat kepada sambutan hangat terhadap projek Raya 2025 ini, Rocketfuel Entertainment bertekad untuk terus mempersembahkan karya-karya berkualiti dan segar kepada penonton dan pendengar.
Pada masa sama, atas permintaan ramai, Rocketfuel Entertainment kini melancarkan lagu Bukan Lagi Kita dan Diam versi Anugerah Juara Lagu (AJL) di semua pelantar digital.
© New Straits Times Press (M) Bhd




