Las Vegas: Esok menandakan detik penting buat Ultimate Fighting Championship (UFC) apabila menganjurkan UFC 324 di Las Vegas, acara pertama yang disiarkan melalui Paramount+, sekali gus menamatkan era bayaran tonton/pay-per-view (PPV).
Perjanjian baharu selama tujuh tahun bernilai AS$7.7 bilion (RM36.3 bilion) bersama Paramount, hampir dua kali ganda berbanding nilai kontrak media terdahulu dengan ESPN, memberi lonjakan besar kepada pendapatan UFC.
Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UFC, Dana White berulang kali menegaskan bayaran kepada petarung akan meningkat susulan perjanjian baharu itu, jumlah sebenar yang bakal diterima atlet bagi bertanding dan menang dalam era pasca-PPV masih menjadi persoalan.
Justin Gaethje, yang bakal beraksi dalam perlawanan utama menentang Paddy Pimblett bagi kejuaraan lightweight interim, menyatakan secara terbuka bahawa dia tidak menikmati sebarang kenaikan bayaran walaupun menjadi tumpuan utama acara pertama di bawah kontrak media baharu.
“Saya dengar Daniel Cormier cakap semua orang akan dibayar lebih untuk kad ini,” kata Justin Gaethje.
“Saya tidak terima walau satu dolar tambahan berbanding jika perjanjian ini tidak berlaku.”
White bagaimanapun menafikan dakwaan itu ketika muncul dalam rancangan The Pat McAfee Show, dengan menegaskan Gaethje sebenarnya ditawarkan bayaran lebih tinggi tetapi tidak memberi sebarang maklum balas.
Dalam era pay-per-view sebelum ini, bintang besar seperti Conor McGregor memperoleh peratusan hasil PPV selain bayaran perlawanan dan bonus kemenangan.
Namun dengan PPV kini berakhir, petarung ternama berkemungkinan menerima pendapatan lebih rendah berbanding kontrak lama.
McGregor, yang kali terakhir beraksi dalam Octagon pada 2021, berpotensi kembali bertarung dalam satu acara khas di White House pada musim panas ini.
Bagaimanapun, dia mengakui model pendapatan baharu itu memaksanya menilai semula kontraknya dan merancang menyambung rundingan pada Februari.
“Kontrak saya pada asasnya terbatal sekarang kerana tiada lagi pay-per-view, sedangkan kontrak lama saya bergantung kepada jualan pay-per-view,” kata McGregor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




