PENGENDALI sementara Manchester United, Ruud van Nistelrooy menyatakan hasrat mahu kekal sebagai sebahagian daripada pasukan pengurusan yang disusun semula kelab itu sebaik sahaja pengganti tetap Erik ten Hag dilantik.
Bekas penyerang United itu memacu The Red Devils dengan rentak kemenangan selepas era ten Hag apabila membelasah 5-2 ke atas Leicester City dalam aksi Piala Liga pada Khamis.
“Saya datang sebagai pembantu untuk membantu kelab dan akan membantu selagi saya diperlukan dalam apa jua kapasiti…
“Saya di sini untuk membantu, berkhidmat, dan memberikan segala-galanya untuk kelab dalam apa jua kapasiti, dengan begitu ramai orang di sekeliling saya yang mahukan yang terbaik untuk kelab dan itu tidak akan berubah,” kata van Nistelrooy.
Perlawanan pusingan 16 di Stadium Old Trafford itu menyaksikan gol United dijaringkan Casemiro (m-15, m-39), Alejandro Garnacho (m-28), Bruno Fernandes (m-36, m-59) manakala gol Leicester dihasilkan Bilal El Khannouss (m-33) dan Conor Coady (m-48).
Mengulas prestasi Casemiro, van Nistelrooy membimbing kelab di tangga ke-14 itu mengakui gembira peranan dimainkan pemain tengah Brazil tersebut yang menjadi bahan kritikan pedas selepas tewas 0-3 di tempat sendiri kepada Liverpool musim ini.
“Saya gembira untuk Casemiro, cara dia berlatih dan membantu pasukan dan kelab, dia contoh yang begitu baik, juga untuk melihat reaksi penonton, mereka juga tahu tentang perkara yang dia lakukan dalam perlawanan ini.
âSudah tentu, melalui saat-saat sukar, perlawanan Liverpool, banyak kritikan, ia sangat sukar, ia tidak adil, dia tidak layak, jika anda melihat dia berlatih dan bersedia untuk perlawanan, dia adalah contoh untuk kami, dan itu juga sebahagian daripada kejayaan pasukan,” kata van Nistelrooy.
Mengenai kemenangan selepas ketiadaan ten Hag, van Nistelrooy berkata ia adalah masa yang sukar sejak rakan senegaranya itu dipecat.
“Hari-hari sebelum ini adalah dengan perasaan bercampur-baur, sedih melihat Erik pergi, dialah yang membawa saya ke sini, dan dalam perbualan pertama kami semangat yang dia tunjukkan untuk kelab, di situlah kami berhubung, dan sesungguhnya menyedihkan untuk melihat dia pergi,” katanya.
Walaupun United dijangka melantik Ruben Amorim dari Sporting Lisbon sebagai pengendali baharu, laporan media menyatakan pengurus Portugal itu akan kekal bersama kelabnya sehingga selepas rehat antarabangsa seterusnya.
Ini bermakna van Nistelrooy akan bertanggungjawab apabila United meneruskan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea di Old Trafford pada Isnin.
United akan bertandang ke Tottenham Hotspur pada suku akhir Piala Liga.
PIALA LIGA
KEPUTUSAN
PUSINGAN 16
Southampton 3-2 Stoke City
Brentford 1-1 Sheffield Wednesday
* Brentford menang penalti 5-4
Brighton 2-3 Liverpool
Preston 0-3 Arsenal
Manchester United 5-2 Leicester City
Newcastle United 2-0 Chelsea
Aston Villa 1-2 Crystal Palace
Tottenham Hotspur 2-1 Manchester City
SUKU AKHIR
Tottenham Hotspur lwn Manchester United
Newcastle United lwn Brentford
Southampton lwn Liverpool
Arsenal lwn Crystal Palace