Ernie sah milik Syamel

KUALA LUMPUR – Pasangan duet popular, Ernie Zakri dan Syamel selamat bergelar suami isteri hanya dengan sekali dalam satu majlis ringkas hari ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah, Ustaz Zainal dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Zakri Ahmad di Masjid Puncak Alam, Shah Alam, Selangor pada pukul 10.30 pagi.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, menerima seutas gelang tangan berlian dan RM300 sebagai mas kahwin daripada pihak lelaki.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan kedua-dua belah mempelai.

Pada majlis yang berlangsung secara sederhana dan hanya dihadiri keluarga terdekat, Ernie menerima lima dulang hantaran daripada pengantin lelaki berbalas tujuh dulang daripada pihaknya.

Sebelum ini, pasangan itu mulai rapat selepas terbabit dalam program Duo Star terbitan Astro pada 2017.

Ketika itu Syamel dan Ernie menjadi pasangan duet dan muncul juara dalam program realiti terbabit.

Lebih menguatkan cinta mereka apabila diangkat sebagai pemenang trofi Vokal Terbaik menerusi single duet berjudul Aku Cinta pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) pada 2018.

Mereka mengikat tali pertunangan pada 15 Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette