Cedera kali ketiga, Azalinullah hampir putus asa

KUALA LUMPUR – Berdepan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) buat kali ketiga, pemain tengah Terengganu FC, Azalinullah Alias mengakui hampir berputus asa untuknya menempuh hari-hari mendatang apabila dijangka tidak dapat beraksi untuk baki saingan Liga Super 2021.

Pemain berusia 25 tahun ini mendapat kecederaan serius itu ketika menentang Melaka United FC pada 17 Mac lalu dan proses pemulihan akan memakan masa antara enam sehingga sembilan bulan untuk kembali sembuh sepenuhnya.

Azalinullah sama sekali tidak menjangka mimpi ngeri itu kembali melanda dirinya buat kali ketiga memandangkan sebelum ini sudah bergelut untuk mendapatkan semula prestasi terbaik selepas kali pertama berdepan kecederaan ACL pada musim 2015 sewaktu bersama Harimau Muda C dan seterusnya pada tahun 2019.

Bagaimanapun, dia enggan dihimpit tekanan terlalu lama dan kini sudah mendapat semangat baharu bagi memastikan proses pemulihan berjalan lebih lancar selain mengambil positif dugaan yang dihadapi ini dapat menjadikannya lebih matang untuk mencipta kembali nama pada musim depan.

“Memang awal-awal saya rasa macam dah tiada harapan dan rasa nak putus asa sebab baru nak mula beraksi dengan baik musim ini, tapi tak sangka dapat ACL pula.

“Cuma bila fikir balik, tiada guna untuk saya terus rasa seperti itu sebab benda sudah jadi, dan sekarang memang saya sangat bersemangat untuk fokus kepada proses pemulihan supaya dapat bangkit dengan lebih baik pada masa akan datang.

“Sekarang saya tengah tunggu untuk melakukan pembedahan pada awal April depan dan selepas itu akan berusaha untuk mendapatkan kembali kecergasan walaupun saya tahu peluang agak tipis untuk beraksi kembali pada musim ini,” jelasnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

TFC kini hanya dibezakan satu mata sahaja dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk berada di tangga kedua apabila tewas 1-2 kepada Sabah FC pada Ahad lalu.

Meskipun hanya mampu memberi sokongan daripada luar, Azalinullah positif skuad kendalian Nafuzi Zain ini akan terus memberi pertarungan sengit untuk mencabar kedudukan teratas liga selain dapat membuktikan sesuatu dalam pentas Piala AFC 2021.

“Saya harap rakan-rakan akan terus bersatu untuk memberi saingan sengit memandangkan kita juga dah bermula dengan baik pada awal musim, dan usaha ini tidak boleh terhenti sampai situ sahaja.

“Sekarang pemain baharu pun ramai, dan saya percaya mereka akan dapat melakar kejutan untuk perlawanan-perlawanan akan datang nanti.

“Saya teringin juga nak kembali ke padang pada aksi-aksi terakhir liga di penghujung musim kalau dapat pulih dengan cepat, cuma saya rasa sebaikya saya tidak perlu tergesa-gesa untuk elak perkara tidak diingini berlaku,” tambahnya.

TFC akan berdepan PJ City FC dalam aksi keenam Liga Super 2021 sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung pada 2 April depan. – MalaysiaGazette