EU tingkat sekatan terhadap junta Myanmar

EU tingkat sekatan terhadap junta Myanmar

LUXEMBOURG: Kesatuan Eropah (EU) semalam menambahkan lapan lagi sekatan termasuk tiga syarikat berkaitan junta Myanmar, susulan rampasan kuasa dan kekerasan yang digunakan ke atas penunjuk perasaan.

Pembekuan aset dan larangan visa itu termasuk ke atas beberapa menteri, menurut senarai yang disiarkan di journal rasmi EU.

Blok 27 negara itu turut meletakkan syarikat permata dan kayu milik negara dalam senarai itu, bertujuan mengehadkan pendapatan utama kepada junta tentera.

Sekatan itu membabitkan Pertubuhan Veteran Perang Myanmar, yang bertindak sebagai pasukan simpanan tentera, ke dalam senarai yang dilarang.

Amerika Syarikat dan Britain juga menyasarkan pegawai dan perusahaan utama negara itu, bagaimanapun sehingga ini pemimpin junta Myanmar seolah-olah tidak menghiraukan tekanan Barat.

London semalam juga mengumumkan sekatan terhadap syarikat yang sama serta badan pemerintah, Majlis Pentadbiran Negara junta.

Pejabat Komanwel dan Pembangunan Asing, berkata langkah mengenakan sekatan terhadap perdagangan dua komoditi bernilai tinggi itu akan membuat pemimpin junta Myanmar ‘kehilangan jutaan pendapatan’.

Menurut Setiausaha Luar, Dominic Raab, tentera berterusan menindas demokrasi serta pembunuhan kejam terhadap orang awam, sambil menyatakan akan terus menyekat akaun junta serta sekatannya, hingga demokrasi dikembalikan.

Myanmar mengalami kekacauan politik sejak tentera menjatuhkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dan pemerintah Liga Nasional untuk Demokrasi.

Kempen kumpulan menyambut baik sekatan EU dan UK terkini itu dengan Pengarah Eksekutif Kempen Burma United Kingdom, Anna Roberts, mengatakan ia adalah cara untuk mengekalkan tekanan ekonomi.

Sementara Agensi Penyiasatan Alam Sekitar (EIA) yang berpangkalan di London, yang menyiasat jenayah hidupan liar transnasional, pembalakan haram dan penebangan hutan, turut memuji tindakan itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top