EURO: 40,000 penyokong dibenar penuhi Wembley

EURO: 40,000 penyokong dibenar penuhi Wembley

LONDON: Perlawanan separuh akhir dan final Euro 2020 akan berlangsung di hadapan 40,000 penonton di Stadium Wembley dengan kejohanan tenis Wimbledon turut akan menjadi projek perintis di England pasca COVID-19.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, mengumumkan kelewatan empat minggu bagi menarik balik sekatan susulan pandemik COVID-19 yang dijadual berakhir pada 21 Jun susulan peningkatan kes disebabkan varian Delta.

Bagaimanapun, empat perlawanan terakhir di Wembley bagi kempen Euro akan menyaksikan peningkatan sekali ganda jumlah penonton yang dibenarkan hadir, berbanding ketika England melakar kemenangan pertama 1-0 ke atas Croatia, kelmarin.

England turut akan bertemu Scotland dan Republik Czech di hadapan 25 peratus kapasiti penyokong di Wembley minggu depan.

Bagaimanapun, pusingan 16 terakhir pada 29 Jun dan aksi separuh akhir serta final bulan depan akan menyaksikan kehadiran penonton paling ramai di United Kingdom sejak 15 bulan lalu.

Saingan Wimbledon pula dibenarkan untuk diadakan dengan 50 peratus kapasiti penonton sepanjang dua minggu kejohanan berlangsung selepas dibatalkan tahun lalu akibat COVID-19.

Aksi final wanita pada 10 Julai dan final lelaki yang berlangsung sehari selepas itu akan disaksikan 15, 000 penonton di Centre Court.

“Kami mahu mengumpulkan bukti bagaimana kami boleh membuka semua acara besar dengan selamat,” kata Setiausaha Kebudayaan, Oliver Dowden.

“Dalam tempoh beberapa minggu lagi, lebih ramai penyokong dapat menikmati Euro dan Wimbledon.” – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top