MB Pahang bantu kanak-kanak derita bocor buah pinggang – Utusan Digital

JERANTUT : “Saya akan gunakan wang bantuan kerajaan negeri untuk rawatan anak saya, Nur Airis Maisarah supaya dia sembuh dan gembira seperti kanak-kanak lain,” katanya Nor Faizah Mohammad Hanizam baru-baru ini.”

Menurut Nor Faizah, dia sangat gembira dan terharu apabila menerima bantuan kerajaan negeri yang diluluskan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bernilai RM5,000 bagi tujuan rawatan tersebut.

Penyampaian bantuan tersebut disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang datang berziarah keluarga kanak-kanak di Kampung Buit Ketupat, dekat sini baru- baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Damak, Zuridan Mohd Daud dan Kadi Jerantut, Syarifuddin Mohamad Sa’ad.

Nor Faizah berkata, dia dan suaminya, Mohd Zulkarnaen Idham Zaabar sangat risau melihat keadaan anak bongsunya yang berusia tiga tahun mengalami bengkak di keseluruhan anggota badan dan tidak berupaya berdiri serta bergerak.

Lebih membimbangkan, keadaan perut anak keempat itu semakin membesar (buncit), manakala bahagian matanya terus membengkak dan mengalami gangguan penglihatan.

Ibu muda itu berkata, anaknya sudah lima kali dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) Temerloh untuk menjalani rawatan, tetapi penyakitnya masih tidak berubah.

“Dengan bekalan wang bantuan bernilai RM5,000 ihsan daripada kerajaan negeri, saya akan gunakan untuk rawatan Nur Airis Maisarah.

Katanya, sekiranya pembedahan dilakukan nanti di Hospital Selayang, sebelum ini doktor ada memberitahu kos rawatan membabitkan sejumlah RM5,000.

“Saya bersyukur dan sangat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengambil berat kebajikan anak saya dengan bantuan segera untuk rawatan,” katanya.

Nur Faizah berkata, dia dan suaminya juga berterima kasih kasih kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan wakil rakyat kawasan Damak, Zuridan Mohd Daud yang datang menyampaikan bantuan tersebut termasuk barang keperluan dapur.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kerdau berkata, beliau mendapat maklumat mengenai Nur Aris Maisara yang mengalami penyakit buah pinggang bocor, usus sempit serta bengkak hati daripada jawatankuasa Masjid Kampung Bukit Dinding, Jerantut.

“Kesusahan ibu bapa kanak-kanak ini untuk memperoleh wang bagi rawatan kita telah ajukan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri di Kuantan baru-baru ini.

“Menteri Besar dan kami bersetuju untuk membantu dengan kos rawatan yang diperlukan sebanyak RM5,000. Hari ini, saya mewakili kerajaan negeri berziarah ke rumah keluarga kanak-kanak ini di samping menyampaikan sumbangan berkenaan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE