EURO: Deschamps sukar terima keputusan seri

EURO: Deschamps sukar terima keputusan seri

BUDAPEST: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengakui pasukannya mengharapkan keputusan lebih daripada sekadar seri 1-1 ketika menentang Hungary kerana juara dunia itu terpaksa menunggu sehingga Sabtu ini untuk ke kelompok 16 terakhir saingan Euro 2020.

Jaringan penyamaan penyerang, Antoine Griezmann pada babak kedua memastikan satu mata untuk Perancis selepas gol pertama daripada bek kiri Hungary, Attila Fiola di babak pertama.

“Selepas babak pertama, kami seharusnya di depan, tetapi mendapati kami terlepas banyak peluang,” kata Deschamps kepada penyiar Perancis, TF1.

“Jelas bermain di hadapan penyokong mereka (Hungary) dan sokongan itu memberikan mereka kekuatan.”

Perancis menerajui Kumpulan F dengan empat mata daripada dua perlawanan, dengan juara bertahan, Portugal akan menentang Jerman di Munich sebentar nanti.

Les Bleus boleh mengesahkan di tempat pertama dan mara ke kelompok 16 terakhir menerusi kemenangan ke atas Portugal dalam perlawanan akhir mereka di Budapest minggu depan.

“Hungary bertahan dengan baik, mereka melakukannya juga ketika menentang Portugal hingga minit ke-83,” kata Deschamps.

“Kami mendapat gol, tetapi tidak cukup dengan apa yang kami cari. Anda harus menerimanya.” – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top