EURO: England waspada kejutan Ukraine

EURO: England waspada kejutan Ukraine

ROME: England berwaspada dengan cabaran Ukraine dalam aksi suku akhir Euro 2020 awal pagi nanti, manakala Denmark akan meneruskan impian mereka bertemu Republik Czech.

Selepas menewaskan Jerman di pusingan kalah mati buat pertama kali sejak final Piala Dunia 1966, pengendali England Gareth Southgate berkata kemenangan itu tidak bermakna jika mereka tewas kepada Ukraine.

Undian kali ini memihak kepada England, yang akan menjadi pasukan pilihan untuk menewaskan skuad kendalian bekas pemenang Ballon d’Or Andriy Shevchenko.

“Sejurus selepas wisel penamat hari itu, pemain-pemain mula bercakap tentang perlawanan seterusnya dan bersedia menghadapinya.

“Mereka sedar walaupun pengalaman perlawanan terakhir itu begitu indah, mereka perlu melupakannya dalam kejohanan seperti ini kerana impian belum tercapai.

“Tidak sukar untuk mengembalikan fokus mereka. Peluang sudah terhidang, keyakinan cukup tinggi. Mereka tidak sabar menghadapi cabaran itu,” kata Southgate yang skuadnya akan beraksi buat kali pertama di luar Wembley dalam kempen kali ini.

England juga perlu menyesuaikan diri tanpa kehadiran penyokong selepas peraturan ketat COVID-19 menghalang mereka untuk menyaksikan perlawanan di Stadio Olimpico.

Ukraine dalam usaha mara ke separuh akhir kejohanan besar pertama mereka sejak pembubaran Kesatuan Soviet, dengan keputusan terbaik ialah ke suku akhir Piala Dunia 2006.

“Kami akan cuba mengejutkan mereka. Tetapi kami sedar yang untuk mengatasi mereka kami perlu menampilkan persembahan terbaik dalam hidup kami,” kata pemain tengah Ukraine Oleksandr Zinchenko, yang akan berdepan beberapa rakan sepasukannya di Manchester City.

Pemenang akan ke separuh akhir di Wembley bertemu Denmark atau Rep Czech yang beraksi di Baku sebentar lagi – tepat tiga minggu selepas Christian Eriksen tidak sedarkan diri dalam perlawanan pertama Denmark. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top