Ingatan pada arwah Andre sangat menebal – Amyza Aznan

Ingatan pada arwah Andre sangat menebal – Amyza Aznan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Amyza Aznan, 50, mengaku kadang-kala dia memang ada tampil memakai niqab apabila keluar ke mana-mana kerana berasa selesa dan lebih tenang.

Ujar Amyza, dia tidak ada apa-apa sebab utama pun berniqab, cuma sekadar suka-suka dan kadang-kadang sahaja bagi memudahkan pergerakan di tempat ramai.

“Kadang-kadang sahaja saya pakai niqab. Sebab, suka-suka nak pakai dan bila berniqab itu, rasa selesa serta tenang. Orang pun jadi jarang nak perasan dekat kita bila di luar.

“Jadi kalau rasa nak pakai niqab, saya pakai sahaja. Tak nak pakai, saya tampil bertudung macam biasa. Tak ada apa-apalah,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Ditanya juga tindakannya yang berterusan mengirim mesej ke telefon anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail, 20 yang meninggal dunia pada 23 Februari lalu, Amyza mengakui dia rindu.

Jelasnya, dia tahu memang tidak akan dijawab pun tetapi ingatan terhadap arwah Andre Mikhail sangat menebal di hati dan sehari pun ia tidak pernah berkurang serta dilupa.

“Saya masih mesej dia sampai sekarang, dan pada ketika ini nombor berkenaan masih lagi aktif. Jadi, saya akan teruslah hantar mesej itu sebab terlalu rindu.

“Walaupun pada setiap mesej dikirim itu hanya satu ‘tick’, saya tidak kisah. Saya pun tahu dia (arwah Andre) di mana sekarang, dan kalau ‘double tick’ pun memang tidak dijawab,” katanya.

Amyza yang juga ibu kepada tiga anak lelaki berkata, hampir enam bulan Allahyarham Andre Mikhail ‘pergi’ buat selamanya dan dia reda. Namun, sebagai ibu ‘kehilangan’ anak adalah ujian sangat berat.

Arwah Andre Mikhail meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 5 Ramadan lalu akibat kanser paru-paru tahap tiga. Kini, anak kedua Amyza iaitu Adrian Adam, 18, turut disahkan menghidap kanser.

Bagaimanapun, Adrian kini masih menjalani rawatan lanjut dalam tempoh kira-kira empat bulan dan difahamkan perbelanjaan mencecah RM53,000, dan mendapat bantuan ramai menerusi kutipan tabung dana diaktifkan Datuk Aznil Nawawi pada Mei lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top