EURO: Hjulmand bawa 'tangkal' ke Wembley

EURO: Hjulmand bawa 'tangkal' ke Wembley

LONDON: Kasper Hjulmand akan membawa jaket hitam bertuahnya – yang berlubang di bahagian kanan ketiak – bersama ke Wembley.

Perkara itu menjadi topik perbualan apabila pengendali Denmark itu membawa pasukannya mara ke separuh akhir bertemu England selepas menewaskan Republik Czech di Baku.

Suhu yang agak tinggi di ibu kota Azerbaijan menyaksikan Hjulmand tidak menyarung jaket itu sehingga babak kedua.

Dia berkata dia memakai jaket itu kerana jersi putihnya menyamai jersi yang dipakai anak buahnya sebelum mengakui yang dia percaya kepada perkara tahyul.

“Saya sentiasa cuba untuk tidak mengulangi tabiat itu. Jika saya sedikit percaya kepada perkara tahyul, ia adalah mengarut.

“Tetapi kami menang dan sudah tentu jaket itu akan turut ke Wembley!” kata Hjulmand.

Insiden membabitkan Christian Eriksen yang tidak sedarkan diri pada perlawanan pertama menarik perhatian dunia untuk menyokong mereka bagi mengulangi kejutan menjuarai edisi 1992.

Denmark adalah pasukan terakhir yang menewaskan England di Wembley menerusi kemenangan 1-0 pada aksi Liga Negara Negara, Oktober lalu. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top