Menjadi tetamu Allah hadiah bulan madu paling indah buat Wan Amirah Zakirah, Nur Fakhri

Menjadi tetamu Allah hadiah bulan madu paling indah buat Wan Amirah Zakirah, Nur Fakhri

Madinah: Tidak sampai setahun mendirikan rumah tangga, sepasang suami isteri dari Melaka melangkah bersama dalam perjalanan yang menjadi impian jutaan umat Islam iaitu ke bumi anbia sebagai duyurfurrahman.

Pada saat ramai pasangan seusia mereka sibuk merancang percutian romantik, Wan Amirah Zakirah Wan Azman, 27, dan suaminya Nur Fakhri Nur Fazil, 28, memulakan fasa awal rumah tangga dengan menyahut panggilan sebagai tetamu Allah pada musim haji 1447H/2026M ini.

Bagi pasangan yang berkahwin pada Julai tahun lepas itu, peluang menunaikan ibadah haji bersama bukan sekadar rezeki, tetapi hadiah bulan madu paling indah disusun Allah SWT dalam perjalanan hidup mereka.

Wan Amirah berkata, dia tidak pernah membayangkan insan yang baru bergelar suami akan menjadi teman pertama berkongsi pengalaman menunaikan rukun Islam kelima.

“Kalau orang tanya kami pergi bulan madu di mana, jawapan kami mungkin berbeza daripada pasangan lain… kami datang ke Tanah Suci.

“Bagi saya, ini bukan sekadar perjalanan ibadah, tetapi permulaan rumah tangga yang Allah hadiahkan dengan cara paling indah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Amirah, perkenalan mereka bermula pada 2020 menerusi seorang rakan sebelum hubungan itu berkembang daripada sekadar persahabatan kepada ikatan yang lebih serius.

“Kami bermula sebagai kawan biasa, kemudian semakin mengenali hati budi masing-masing.

“Alhamdulillah kedua-dua keluarga merestui hubungan kami, kami bertunang pada hujung 2024 sebelum berkahwin pada Julai tahun lepas,” katanya sambil menambah tidak lama selepas bergelar suami isteri, mereka menerima khabar gembira apabila dipilih menjadi tetamu Allah bersama-sama pada musim haji kali ini.

Lebih bermakna, perjalanan itu turut disertai dua adiknya, Wan Amirul Zulfadhli, 26, dan Wan Amirul Zulkarnain, 24, menjadikan pengalaman di Tanah Suci itu lebih istimewa buat seluruh keluarga.

Wan Amirah berkata, impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebenarnya sudah bermula sejak kecil apabila ibunya mula membuka akaun simpanan haji untuk dirinya dan adik-beradik lain pada 2009.

“Waktu itu saya masih kecil dan belum faham pun tentang haji. Ibu yang uruskan semuanya melalui potongan gaji setiap bulan.

“Bila saya mula bekerja, saya sambung sendiri sebab memang dari kecil sudah ditanam impian untuk sampai ke sini,” katanya.

Tambahnya, melihat nenek serta ibu bapanya menunaikan ibadah haji sebelum ini turut menyemarakkan lagi keinginan untuk terus istiqamah menabung.

“Saya memang suka tengok suasana orang menghantar jemaah di lapangan terbang dan dengar cerita mereka balik dari haji.

“Bila dapat datang bersama suami selepas baru berkahwin, rasa macam Allah susun perjalanan hidup kami dengan sangat cantik,” katanya dan menambah di bumi anbia itu mereka belajar mengenali pasangan melalui sabar, penat, pengorbanan dan doa.

“Harapan kami bila pulang nanti, semoga perjalanan haji ini menjadi permulaan terbaik dalam rumah tangga kami… menjadi suami isteri yang lebih sabar, lebih memahami dan lebih dekat dengan Allah serta dikurniakan zuriat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top