EURO: Mancini harap tuah 11 Julai

EURO: Mancini harap tuah 11 Julai

LONDON: 11 Julai adalah tarikh yang istimewa buat bola sepak Itali kerana ia adalah hari di mana mereka memenangi Piala Dunia 1982 menerusi kemenangan 3-1 ke atas Jerman Barat di Santiago Bernabeu.

Justeru, Roberto Mancini mengharapkan ia dapat memberi petanda baik buat generasi kini, namun dia tetap berhati-hati dengan ancaman yang bakal diberikan oleh England.

“Saya harap tarikh itu akan menjadi detik penting untuk kali kedua buat Itali. Kami harap dapat mendengar sorakan daripada penyokong selepas perlawanan tetapi kami akan fikirkan perkara lain ketika perlawanan.

“England pasukan yang kuat dan mereka ada pemain yang baik di bangku simpanan. Raheem Sterling sangat pantas, bukan sahaja kami perlu fokus kepadanya tetapi juga pemain yang beraksi di sebelah kanan.

“Harry Kane juga sangat kuat. Mereka ada serangan yang hebat.”

Bagaimanapun, Mancini kekal tenang menjelang aksi final di Wembley jam 3 pagi ini dan mengharapkan barisan pemainnya juga begitu.

“Perlawanan pertama sukar tetapi ini adalah final, ia berbeza.

“Saya tidak gementar tetapi menjelang perlawanan, mungkin (gementar). Detik ini sangat penting dan saya harap dapat mencipta kejayaan yang tidak dapat saya lakukan ketika bergelar pemain.

“Kami perlu bertenang, kami tahu ia perlawanan yang sukar tetapi kita perlu fokus. Kita perlu menikmati perlawanan terakhir ini dan memberikan 90 minit yang terbaik,” tambahnya. -Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top