EURO: Penghargaan Kane buat Eriksen

EURO: Penghargaan Kane buat Eriksen

LONDON: Harry Kane memberikan penghargaan menyentuh perasaan kepada Christian Eriksen dengan menyerahkan sehelai jersi England yang ditandatangani.

Kapten Three Lions itu menyerahkan jersi berkenaan kepada kapten Denmark, Simon Kjaer sebelum aksi sepak mula separuh akhir antara kedua-dua pasukan itu di Wembley.

Eriksen, 29, berdepan detik cemas apabila mengalami ‘cardiac arrest’ dan rebah di tengah padang ketika aksi pembuka tirai Denmark di Euro 2020 menentang Finland.

Denmark bangkit daripada peristiwa itu dengan menunjukkan prestasi luar biasa dan mara ke separuh akhir yang penuh bersejarah buat pasukan.

Namun langkah mereka di Euro 2020 terhenti di separuh akhir apabila jaringan Kane pada masa tambahan menyaksikan kemenangan berpihak kepada England 2-1 dan dijadual bertemu Itali di final.

Penghargaan diberikan England itu menerima sorakan padu daripada segenap penjuru stadium.

Sebelum perlawanan, Kane, yang pernah beraksi bersama Eriksen di Spurs berkata: “Saya bercakap dengannya selepas apa yang berlaku dan mengharapkan dirinya cepat sembuh.

“Dia membalas mesej itu dengan cepat dan berkata OK. Saya seperti meninggalkan dirinya keseorangan. Ia satu peristiwa yang penuh emosi bukan saja untuk dirinya tetapi juga keluarganya.” – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top