EURO: Pessina pacu Itali ke kelompok 16 terakhir

EURO: Pessina pacu Itali ke kelompok 16 terakhir

ROM: Pemain tengah Itali, Matteo Pessina menjaringkan gol ketika Itali mencatatkan tiga kemenangan dalam saingan Euro 2020, menewaskan 10 pemain Wales 1-0 untuk menduduki tangga teratas Kumpulan A.

Itali dan Wales mara ke peringkat 16 terakhir.

Gol Pessina, bermakna Itali akan berdepan naib juara Kumpulan C untuk aksi seterusnya, manakala Wales berdepan pasukan naib juara di Kumpulan B.

Setakat ini, Itali yang sebelum ini gagal mara ke Piala Dunia 2018 belum tewas dalam 30 perlawanan, dengan 25 kemenangan dan lima seri-satu pencapaian yang kali terakhir dilakukan di bawah jurulatih pemenang Piala Dunia, Vittorio Pozzo antara tahun 1935 dan 1939.

Ia juga kemenangan ke-11 berturut-turut Azzurri, dengan pasukan berkenaan menempah tiket ke pusingan kalah mati.

Itali akan menentang Ukraine atau Austria di Wembley pada 26 Jun ini untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Wales yang melangkah ke separuh akhir pada Euro 2016 pula terpaksa bermain 10 orang selepas Ethan Ampadu dibuang padang selepas mengasari Federico Bernardeschi.

Penyerang Tottenham Hotspur, Gareth Bale yang juga penjaring terbanyak Wales dengan 33 gol antarabangsa gagal memanfaatkan peluang untuk menyamakan kedudukan selepas minit ke-75 perlawanan.

Mancini membawa beberapa pemain baharu di dalam skuadnya di perlawanan akhir peringkat kumpulan dengan melakukan lapan perubahan, dengan barisan depan dikemudi oleh Federico Chiesa, Andrea Belotti and Federico Bernardeschi. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top