BUDAPEST: Cristiano Ronaldo meledak gol ke-109 bersama Portugal ketika menentang Perancis untuk menyamai pencapaian bekas penyerang Iran, Ali Daei bagi rekod jaringan terbanyak antarabangsa.
Penyerang berusia 36 tahun itu yang juga penjaring terbanyak Kejuaraan Eropah menyempurnakan dua sepakan penalti untuk meraih rekod itu pada penampilan ke-178.
Ronaldo kini menjaringkan 14 gol dalam Kejuaraan Eropah, lebih lima mengatasi legenda Perancis, Michel Platini yang meledak sembilan kali untuk membantu Perancis muncul juara pada 1984.
Dia meledak gol antarabangsa pertamanya ketika Portugal tewas 2-1 di tangan Greece pada aksi pertama Kejuaraan Eropah 2004 yang menyaksikan mereka turut tewas 1-0 pada lawan sama di pentas akhir.
Daei yang bergelar ‘Shariar’ (Raja dalam bahasa Parsi) meledak 109 gol dalam 149 penampilan bersama Iran antara 1993 dan 2006, satu rekod yang dilihat tidak akan dipecahkan.
Bagaimanapun, dia beberapa kali menegaskan ‘gembira’ jika Ronaldo dapat memecahkan rekodnya, selain percaya penyerang Juventus itu adalah antara tiga pemain terbaik dalam sejarah bola sepak bersama Lionel Messi dan Diego Maradona.
“Rekod dibuat untuk dipecahkan,” kata Daei kepada agensi berita Khabar Online pada 2018.
“Ronaldo sememangnya mempunyai kualiti untuk melakukannya. Saya begitu menghormatinya. Dia adalah pemain hebat yang tidak perlu diberikan pujian.” – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




