LONDON: Gareth Southgate mendedahkan, tiada apa yang dapat menyembuhkan luka gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh akhir Euro 1996, biarpun berjaya membimbing England menewaskan Jerman 25 tahun kemudian.
Skuad The Three Lions menewaskan pasukan bimbingan Joachim Loew 2-0 di Wembley bagi mengesahkan tempat ke suku akhir Euro 2020 menerusi jaringan lewat permainan Raheem Sterling dan Harry Kane, awal pagi tadi.
Southgate gagal menyempurnakan penalti buat England pada separuh akhir Euro 1996 di stadium yang sama dengan bos England itu mengakui kegembiraan yang diraikan bekas rakan sepasukannya susulan kemenangan awal pagi tadi membuatkan dia berasa sedih.
Pengendali berusia 50 tahun itu, berkata: “Saya sangat gembira. Saya menyaksikan di skrin besar dan saya lihat David Seaman di atas sana. Rakan sepasukan yang bermain bersama saya, saya tidak dapat mengubahnya dan ia sentiasa perit.
“Namun, kami berjaya memberikan penyokong hari yang boleh diingati dan kini kami perlu lakukannya lagi di Rom,” katanya.
Anak buah Southgate akan bertemu Ukraine di suku akhir di Rom awal pagi Ahad ini, dengan pemenang akan bertemu lawan sama ada Republik Czech atau Denmark di Wembley.
Aksi final edisi kali ini turut berlangsung di Wembley dengan Alan Shearer yang juga rakan sepasukan Southgate pada Euro 1996 dan mengakhiri kempen sebagai penjaring terbanyak England percaya ia adalah peluang terbaik buat The Three Lions untuk memenangi kejohanan itu.
“England tidak akan mendapat peluang yang lebih baik, berbanding peluang yang ada ketika ini bagi memenangi Euro.
“Mereka di Wembley, saya tahu mereka akan bermain di tempat lawan untuk perlawanan seterusnya, tetapi jika bernasib baik mereka akan kembali ke Wembley. Anda tidak dapat lebih, berbanding suasana yang ada di sini.
“Kita sudah menewaskan Jerman dan kita lakukannya dengan cukup cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Tony Adams yang mengetuai England pada separuh akhir Euro 1996 bertemu Jerman menyifatkan, Southgate berjaya melunaskan dendam di atas kekecewaan dialami 25 tahun lalu. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




