Gua Musang: Aliran trafik di pintu masuk Gua Musang dijangka sesak mulai esok, susulan pertambahan kenderaan perantau yang pulang ke kampung halaman sempena cuti persekolahan dan sambutan Aidiladha minggu depan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, walaupun berlaku pertambahan kenderaan ketika ini, aliran trafik masih terkawal dan bergerak lancar di semua kawasan sepanjang jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Krai setakat jam 9 malam tadi.
“Kenderaan banyak tetapi aliran trafik lancar dan tidak berlaku kesesakan di mana-mana lokasi.
“Kami jangkakan esok akan berlaku pertambahan kenderaan dan mungkin mengakibatkan aliran trafik menjadi perlahan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sik turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan memandu secara berhemah agar tidak terlibat dalam kemalangan yang boleh menyebabkan berlaku kesesakan jalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




