Aziz M Osman akui era kegemilangan sebagai pengarah sudah berlalu

Aziz M Osman akui era kegemilangan sebagai pengarah sudah berlalu

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman mengakui era kegemilangannya sebagai pengarah filem sudah berlalu, namun berbangga melihat industri perfileman tempatan kini berkembang lebih profesional berbanding zaman awal pembabitannya dahulu.

Menurut Aziz, 64, perubahan suasana industri perfileman sebenarnya sesuatu yang sihat kerana penerbit generasi baharu kini lebih menitikberatkan soal disiplin, kualiti teknikal dan nilai produksi.

“Sekarang ini penonton sudah pandai menilai. Mereka tahu filem mana dibuat cincai dan filem mana dibuat dengan disiplin tinggi. Semua aspek produksi sekarang perlu berada pada tahap tinggi.

“Dulu saya malu nak mengaku industri filem. Dulu kita main ‘industri kampung’, tetapi sekarang ini industri filem memang wujud kerana rata-rata produksi mengamalkan SOP yang tersusun dan setahap dengan disiplin antarabangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem HAK: Tuntut atau Tunduk, di sini, semalam.

Katanya, dia sendiri pernah bekerja tanpa sistem kerja yang tersusun sehingga terpaksa mengubah skrip di lokasi mengikut keadaan semasa.

“Dulu saya datang set, apa yang ada itu yang saya guna. Kalau ekstra tak ada atau lokasi tak sempurna, saya olah terus cerita di lokasi.

“Tapi sekarang sebelum masuk set semua sudah siap, semua tahu kerja masing-masing dan ada SOP yang tersusun. Itu jauh beza daripada cara saya bekerja dulu,” katanya.

Pengarah filem XX Ray, Puteri Impian dan Senario The Movie itu turut mengakui namanya mungkin tidak lagi menjadi tarikan untuk membawa penonton ke pawagam.

Katanya, dia menerima hakikat bahawa setiap pengarah mempunyai kitaran tersendiri dalam industri.

“Bukan saya kata filem terakhir saya gagal, tetapi ‘brand’ Aziz M. Osman itu mungkin sudah tidak cukup kuat untuk tarik orang beli tiket wayang.

“Sekarang orang nak tengok wayang, satu kepala boleh habis RM40 hingga RM50, jadi mereka akan pastikan filem itu benar-benar berbaloi,” katanya.

Bagaimanapun, Aziz menegaskan dia tidak berkecil hati kerana menganggap dirinya sudah puas dengan pencapaian yang diraih sepanjang lebih tiga dekad bergelar pengarah.

“Saya bangga dengan legasi saya. Saya sudah hasilkan ‘masterpiece’ seperti XX Ray, Puteri Impian dan filem-filem Senario. Jadi saya tidak lagi kejar semua itu,” katanya.

Dalam masa sama, Aziz turut memuji keberanian pembikin filem muda yang berani menghasilkan karya di luar kebiasaan dan tidak lagi terlalu bergantung kepada formula lama.

Katanya, perkembangan itu dapat dilihat apabila filem tempatan kini mampu mencatat kutipan lebih tinggi berbanding filem Hollywood.

“Itu satu evolusi yang sangat sihat. Generasi muda sekarang bersaing dari segi kualiti, bukan semata-mata populariti.

“Mereka lebih berani keluar daripada ‘template’ biasa dan hasilkan cerita yang segar,” katanya.

Aziz turut menyifatkan filem Tarung: Unforgiven sebagai antara karya tempatan terbaik yang pernah ditontonnya kebelakangan ini.

“Saya puas sebagai peminat filem. Saya rasa kita boleh pergi jauh sampai ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aziz yang memegang watak pengurus pasar dalam HAK: Tuntut atau Tunduk berkata, wataknya kali ini cukup berbeza dan mencabar kerana memerlukan dia menjalani latihan untuk adegan aksi.

“Tak pernah dalam karier saya kena datang latihan bertumbuk. Untuk watak ini saya kena buat latihan dan memang sakit badan dibuatnya,” katanya sambil ketawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top