am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pengutip hutang yang dihukum penjara 15 bulan kerana mengurung dan mencederakan remaja lelaki berusia 14 tahun, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap empat pertuduhan.
Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak, menumbuk dan menendang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun di rumah kedai kosong di Kota Kemuning, Shah Alam pada 8.45 pagi, 8 Mei lalu.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan terhadapnya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan mengarahkan hukuman bermula hari ini.
Di Mahkamah Majistret, Mohamad Fadwan dihukum penjara enam bulan bagi kesalahan menyamar sebagai anggota polis dan penjara satu tahun kerana mencuri motosikal milik lelaki tempatan berusia 30 tahun di Kota Kemuning, pada 8.15 dan 8.54 pagi, 8 Mei lalu.
Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman membenarkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 15 Mei lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Selain itu, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah berbahaya jenis Morphine dalam badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, pada 12.30 tengah hari, 15 Mei lalu.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos untuk laporan patologi sebelum menjatuhkan hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing dan Alia Anisa Khairus Masnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Mohamad Fadwan yang keseluruhannya menghadapi tujuh pertuduhan, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan kerana mengurung dan mencederakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning di sini, minggu lalu.
Secara keseluruhan, dia akan menjalani hukuman penjara enam tahun untuk semua pertuduhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




