Trump, Putin cari restu Beijing

Trump, Putin cari restu Beijing

Dalam minggu ini, dunia menyaksikan lawatan yang menjadi perhatian dunia bagi dua pemimpin yang berkunjung ke China.

Dataran Tiananmen menyaksikan perarakan permaidani merah yang jarang berlaku dalam sejarah moden.

Kepulangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Pejabat Oval dan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin membawa mereka ke pintu Kota Larangan, membayangkan seolah-olah China memainkan peranan sebagai ‘pemberi restu’ kepada keseimbangan kuasa global yang baharu.

Lawatan Donald Trump yang berakhir pada 15 Mei lalu membawa nada berbeza. Di sebalik idea ‘America First’, Trump hadir untuk menstabilkan rantaian bekalan dan meredakan ketegangan perdagangan. China, dengan penuh licik, menyambutnya sebagai rakan setanding, menekankan bahawa dunia cukup luas untuk kedua-dua gergasi ini.

Namun, hanya 24 jam selepas Air Force One meninggalkan ruang udara China, Vladimir Putin mendarat untuk lawatan dua hari.

Perbezaan suasananya cukup ketara. Jika Trump disambut dengan protokol perniagaan yang ketat, Putin diraikan sebagai ‘sahabat lama’.

Walaupun lawatan Trump di China kelihatan lancar tanpa sebarang insiden di luar jangka, namun ia tercemar dengan insiden yang berlaku sebelum delegasi AS berlepas pulang.

Sebelum menaiki Air Force One, delegasi Trump dilaporkan membuang semua barangan pemberian pihak China daripada lencana, cenderamata, hinggalah ke peranti elektronik ke dalam tong sampah berhampiran pesawat.

Tindakan drastik ini bukanlah satu penghinaan peribadi, sebaliknya mencerminkan paranoia keselamatan tahap tinggi yang masih menyelubungi hubungan Washington-Beijing.

Di bawah protokol keselamatan AS, sebarang barangan dari China dianggap berisiko tinggi mengandungi peranti pengintip atau ‘bug’, membuktikan bahawa kepercayaan masih menjadi komoditi paling mahal di meja rundingan.

Dalam dunia perisikan moden, sebuah plak peringatan atau sebatang pen pemberian rasmi bukan lagi sekadar hiasan meja.

Ia berpotensi membawa kerosakan keselamatan berskala besar. Dengan kemajuan teknologi, peranti pengintip kini boleh disembunyikan di dalam struktur bahan tanpa dikesan oleh pengimbas sinar-X konvensional.

Tindakan ‘de-bugging’ sebelum menaiki Air Force One adalah mustahil. Pihak keselamatan AS sedar bahawa memeriksa setiap inci barangan yang diterima di Beijing adalah usaha sia-sia dan memakan masa. Membuangnya adalah satu-satunya cara untuk menjamin integriti ruang udara dan komunikasi di atas Air Force One.

Tindakan membuang hadiah berkenaan juga dilihat sebagai mesej tersirat daripada AS ke China bahawa Washington tidak akan membiarkan sebarang ruang untuk penyusupan siber China, terutamanya ketika AS sedang giat menyekat syarikat teknologi gergasi China daripada pasaran mereka.

Insiden ini juga secara tidak langsung memberi gambaran bahawa dalam era geopolitik 2026, senjata paling berbahaya bukan lagi peluru berpandu, tetapi cip silikon yang tersembunyi di dalam kotak hadiah yang dihias indah.

Berbeza dengan delegasi AS, rombongan Putin pulang dengan lebih 40 perjanjian kerjasama yang ditandatangani secara rasmi.

Moscow yang kini dihimpit sekatan Barat melihat Beijing sebagai talian hayat ekonomi, manakala Beijing melihat Moscow sebagai benteng strategik menentang kuasa Barat.

Impak lawatan ini cukup mendalam dan ia boleh dilihat dengan hasil yang diperoleh kedua-dua negara.

Pertama, pemerhati merumuskan bahawa kita kini melihat kemunculan ‘kuasa 3 penjuru’ yang lebih jelas. China bukan lagi sekadar kilang dunia sebaliknya ia kini adalah kuasa yang mampu mengimbangi tuntutan ekonomi Washington dan keperluan strategik Moscow secara serentak.

Selain itu, pasaran komoditi global dijangka stabil buat sementara waktu. Komitmen China untuk membeli produk pertanian AS sebanyak AS$17 bilion setahun dan pesanan 200 pesawat Boeing memberikan nafas lega kepada ekonomi AS yang sedang bergelut dengan inflasi.

Malah, paksi Moscow-Beijing semakin kukuh dalam sektor tenaga. Walaupun projek saluran paip Power of Siberia 2 masih belum mencapai kata putus muktamad mengenai harga, kesepakatan untuk meningkatkan eksport minyak Rusia ke China menunjukkan bahawa/benteng timur ini semakin sukar ditembusi oleh sekatan ekonomi Barat.

Namun, bayang-bayang isu Taiwan tetap menghantui. Dalam pertemuan tertutup, Xi dilaporkan memberi amaran keras kepada Trump bahawa Taiwan adalah ‘garis merah’ yang tidak boleh dirunding.

Bagi Rusia, lawatan ini adalah kemenangan moral. Di tengah-tengah konflik Iran dan Ukraine yang berlarutan, Putin berjaya membuktikan bahawa beliau tidak terasing.

Secara kasarnya, lawatan yang berlangsung ini membuktikan Beijing menjadi pentas masa depan geopolitik abad ke-21.

Trump membawa pulang janji ekonomi manakala Putin membawa pulang jaminan strategik.

China pula membawa pulang pengiktirafan bahawa mereka kini adalah pusat graviti dunia.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top